X

Kindly register in order to view this article
!

Peruntukan untuk Jasa hidupkan semula 'unit propaganda politik'

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Peruntukan berjumlah RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam Belanjawan 2021 yang dibentang Jumaat lalu dilihat satu usaha menghidupkan kembali ‘unit propaganda politik’ tersebut.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia disifatkan sebagai bertentangan dengan semangat perpaduan semua pihak dalam membebaskan negara daripada ancaman wabak koronavirus (Covid-19) yang masih aktif pada waktu ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Putrajaya supaya menilai semula cadangan peruntukan Persekutuan tersebut.

"Sebelum ini, jabatan ini nampak sebagai suatu unit ‘propaganda politik’. Sekiranya itu tujuan Jasa ditubuhkan, ia dilihat telah membelakangkan usaha untuk menyatupadukan rakyat dalam tempoh yang amat mencabar ini.

“Oleh itu, kita minta peranan Jasa dinilai semula untuk memupuk perpaduan dan bukan mewujudkan perbezaan dan perpecahan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan pek bantuan sara hidup kepada golongan terpilih sempena sambutan Deepavali di Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia Pulau Pinang di sini semalam.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut berharap Belanjawan 2021 akan membawa manfaat kepada penduduk Pulau Pinang pada tahun hadapan.

“Perkara paling penting Pulau Pinang mahu lebih besar peruntukan dengan mengambil keadaan keseluruhan (ekonomi pasca pandemik Covid-19) ketika ini terutama berkaitan kebajikan rakyat untuk meneruskan hidup.

“Tentunya Belanjawan 2021 ini boleh merangsang pertumbuhan ekonomi, kita mengalu-alukannya, namun keutamaan sekarang adalah untuk memastikan kejayaan terus ada dan diwujudkan, kebajikan untuk rakyat diteruskan serta pertumbuhan ekonomi boleh dirangsang dengan lebih cepat," katanya.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan sejumlah RM81.5 juta diperuntukkan bagi program peluasan Jasa.

Peruntukan yang terkandung dalam kepala bekalan 47, Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu sekali gus mengundang persoalan pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan pembangkang memandangkan pandemik Covid-19 memerlukan pengagihan peruntukan secara saksama mengikut situasi semasa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!