Kelantan tubuh jawatankuasa koordinator projek ECRL

Gambar kecil: Azami Mohd Nor
Gambar kecil: Azami Mohd Nor
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Julai lalu membuat keputusan bersetuju dengan Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Koordinator Kerja, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Exco Kerja raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Menurutnya, tujuan penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk memantau pengendalian kontrak ECRL di Kelantan bagi kuota 40 peratus kontraktor tempatan.

Beliau berkata, skop dan bidang kuasa Jawatankuasa Koordinator Kerja Projek ECRL Negeri Kelantan adalah menyelaras agihan kontrak kerja ECRL untuk kuota 40 peratus kontraktor tempatan.

"Mereka juga akan membuat pemilihan kontraktor tempatan bagi kerja-kerja ECRL berdasarkan kepada tatacara pengurusan kewangan yang betul selain bertanggungjawab meneliti serta mengesahkan cadangan pembekal dan kontraktor yang melaksanakan kerja kontrak ECRL di Negeri Kelantan.

"Pada masa sama, mereka akan mengangkat isu-isu yang tidak selesai kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Negeri Kelantan dan Utiliti Projek ECRL Negeri Kelantan," katanya sebagai menjawab soalan diajukan (Pas- Jelawat) Abdul Azziz Kadir mengenai laluan terkini kereta api laju ECRL di negeri berkenaan.

Menurut Azami, sebanyak 1,561 lot akan terlibat dengan kawasan laluan kereta api tersebut melibatkan daerah iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Puteh manakala antara mukim terlibat ialah Pendek, Kota, Tiong, Parit, Guntong, Perol, Pangkal Pisang, Padang Leban dan Padang Raja di Kota Bharu.

Di Machang pula adalah Ulu Sat, Bachok di Mak Lipah dan Pasir Puteh pula di Jerus, Bukit Merbau, Banggol Setor, Berangan, Seligi, Permatang Sungkai, Batu Sebutir, Padang Pak Amat, Jeram,Merbol, Gong Garu, Changgai dan Kandis.

Ketika mengajukan soalan tambahan, Abdul Azziz turut bertanya sama ada kerajaan negeri akan membuat rayuan untuk kembali kepada jajaran asal termasuk membuat satu stesen baharu di Bachok.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan tersebut, Azami berkata, buat sementara, pihaknya akan menumpukan perhatian kepada perkara yang dirancang terlebih dahulu, namun tidak menolak kemungkinan untuk membuat rayuan supaya ia berakhir di Tumpat.