PKPB: Tak perlu pembelian panik, barangan mencukupi

ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekali lagi memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengerahkan anggota dan pegawai penguat kuasa melaksanakan operasi pemantauan di seluruh negara bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas khususnya makanan sentiasa mencukupi.

Menurutnya, tiada keperluan untuk melakukan pembelian panik dan menyimpan stok barangan di rumah.

“Sepertimana dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini, kementerian mengerahkan 2,267 anggota dan pegawai penguat kuasa bersama 1031 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di 72 pejabat cawangan KPDNHEP untuk melaksanakan operasi pemantauan di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP, sebanyak 12 barang keperluan harian pengguna telah dipantau secara harian oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

“Pemantauan 12 barang keperluan asas ini meliputi 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR), 1,039 Pemborong Terpilih Daerah (DDW), 198 Pengilang Terpilih Daerah (DDM) yang merangkumi 222 Parlimen dan 587 Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP turut melakukan pemantauan harian bagi memastikan bekalan makanan dan barang keperluan asas sentiasa mencukupi dan diperoleh pada harga munasabah sebagai persediaan menghadapi musim banjir di negeri yang bakal terjejas pada musim tengkujuh.

“Sejumlah 473,899 premis perniagaan telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa sepanjang tempoh PKP bagi memastikan pematuhan semua undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

Artikel Berkaitan:

“Ini merangkumi pelbagai jenis perniagaan seperti kedai runcit, pasaraya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan dan lain-lain premis.

“Daripada operasi pemeriksaan itu, sebanyak 4,673 kes sudah dikenakan tindakan mengikut pelbagai akta membabitkan nilai rampasan berjumlah RM60,657,836. Keseluruhannya, sebanyak 3,424 kes telah dikompaun sepanjang tempoh PKP, PKPB, PKPP1 dan PKPP2 ini membabitkan kutipan kompaun berjumlah RM 1,506,752,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander turut mengingatkan peniaga untuk memastikan barangan jualan diletakkan tanda harga yang jelas bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat untuk perbandingan harga sebelum membuat pembelian.

“KPDNHEP sentiasa memandang serius isu peniaga cuba mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti mencatut.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil jika didapati mana-mana peniaga sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit yang cuba mengambil kesempatan berhubung bekalan barang keperluan asas atau melakukan aktiviti mencatut semasa menghadapi situasi pandemik ini,” katanya.