Maut bergelut ketika cuba curi beg dalam bas

Mangsa warga Algeria maut selepas berlaku pertengkaran dengan seorang lelaki dalam sebuah bas di Jalan Pangkor, Kuala Lumpur semalam.
Mangsa warga Algeria maut selepas berlaku pertengkaran dengan seorang lelaki dalam sebuah bas di Jalan Pangkor, Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga Algeria maut selepas bergelut dengan seorang lelaki ketika cuba mencuri beg sandang dalam sebuah bas di Jalan Pangkor di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.52 petang.

Menurutnya, berdasarkan rakaman percakapan awal pemandu bas berkenaan, dia menyedari berlaku pertengkaran antara seorang lelaki tempatan dan mangsa hingga mangsa itu dipukul sebelum rebah serta tidak sedarkan diri.

"Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan dan soal siasat terhadapnya mendapati punca kejadian disebabkan mangsa cuba mencuri beg sandang miliknya.

"Menyedari tindakan mangsa, lelaki tersebut menampar dan menendang kaki mangsa menyebabkan dia rebah sejurus bas berhenti di Perhentian Bas Pekeliling, Kuala Lumpur," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan pada badan mangsa berusia 56 tahun itu mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau lebam manakala pemeriksaan pada pakaian mangsa menjumpai surat rawatan asma dari Hospital Kuala Lumpur, salinan pasport dan inhaler.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

"Semakan awal mendapati mangsa memiliki satu rekod lampau bersabit kes curi beg. Siasatan masih dijalankan dan suspek direman enam hari sehingga 14 November untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: