PKPB: Tak perlu permit polis jika ada surat majikan

Mohd Noor pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan IPD Kuantan di Restoran Zaman hari ini.
Mohd Noor pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan IPD Kuantan di Restoran Zaman hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai yang mempunyai surat majikan untuk merentas negeri bagi tujuan pekerjaan tidak perlu hadir ke balai polis untuk memohon permit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, surat tersebut sudah memadai untuk membolehkan merentas negeri seperti dinyatakan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), IPD Kuantan menerima kunjungan orang ramai dengan jumlah mendadak.

"Tidak perlu membazir masa beratur di balai untuk memohon permit polis jika sudah mempunyai surat majikan.

"Pada masa sama kita dapat mengelakkan kehadiran ramai ke balai. Ini kerana kebajikan petugas barisan hadapan juga perlu dijaga bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dielakkan," katanya.

Mohd Noor (kiri) menggunakan cecair pembasmi kuman ketika tiba di Restoran Zaman pagi tadi.
Mohd Noor (kiri) menggunakan cecair pembasmi kuman ketika tiba di Restoran Zaman pagi tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan di Restoran Zaman di sini hari ini.

Pada program tersebut, Mohd Noor turut melancarkan gimik pelancaran baju kempen Bersama Memutuskan Rantaian Covid-19 yang diilhamkan oleh beliau sendiri.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Mohd Noor berkata, sehingga semalam lebih 4,618 permit ke luar negeri dikeluarkan IPD Kuantan, manakala 615 permohonan ditolak.

Beliau berkata, permohonan yang tidak mempunyai dokumen sokongan seperti alasan mengambil anak di negeri lain akan ditolak.

"Seramai 14 individu dikenakan kompaun dalam satu operasi mengejut di sebuah pusat membeli belah di daerah ini kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul semalam.

"Kita terpaksa melaksanakan tindakan tegas kerana tugas mencegah penularan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama," katanya.