Jumlah sekatan jalan raya akan bertambah: PDRM

Datuk Seri Abd Rahim Jaafar
Datuk Seri Abd Rahim Jaafar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah sekatan jalan raya akan ditambah susulan pertambahan negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat peningkatan kes koronavirus (Covid-19).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, setakat hari ini sebanyak 370 sehingga 400 jumlah sekatan jalan raya dilaksanakan termasuk Op Benteng di seluruh negara.

"Jumlah sekatan jalan raya ini akan ditambah dan rentas negeri adalah tetap tidak dibenarkan.

"PKPB ini diwujudkan berikutan berlakunya pertambahan kes dan sekatan jalan raya dilakukan bagi menyekat orang ramai untuk tidak keluar selain mengelakkan penularan kes," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas berkenaan laluan khas di lokasi sekatan jalan raya untuk petugas barisan hadapan dan perkhidmatan penting, Abdul Rahim berkata, laluan itu dikhaskan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, kenderaan perdagangan dan pihak media.

Dalam pada itu, beliau turut akui tahap kefahaman masyarakat terhadap penugasan sekatan jalan raya semakin meningkat.

"Tiada aduan kita terima berkenaan sekatan yang dilakukan, masyarakat sudah faham tentang ini," katanya.

PKPB akan dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penguatkuasaan PKPB itu dilaksanakan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan mendengar pembentangan KKM berhubung peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa negeri di Semenanjung.