Kikis stigma negatif terhadap bekas pesakit Covid-19

Bekas pesakit mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan pengikut laman Facebook dikenali sebagai Covid-19 Survivor Sabah sebagai saluran perkongsian pengalaman pesakit Covid-19 yang telah sembuh.
Bekas pesakit mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan pengikut laman Facebook dikenali sebagai Covid-19 Survivor Sabah sebagai saluran perkongsian pengalaman pesakit Covid-19 yang telah sembuh.
A
A
A

KOTA KINABALU - Laman sosial dilihat sebagai platform terbaik dalam usaha menghapuskan tanggapan negatif terhadap bekas pesakit koronavirus (Covid-19) sekali gus dapat menyedarkan masyarakat sekeliling bahawa mereka tidak perlu ‘ditakuti’ dan ‘disisihkan’.

Seorang bekas pesakit mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan pengikut laman Facebook dikenali sebagai Covid-19 Survivor Sabah pada Oktober lepas, sebagai saluran perkongsian pengalaman pesakit Covid-19 yang telah sembuh dan kembali ke dalam komuniti, namun tidak semua dapat menerima kehadiran mereka.

Berkongsi pengalamannya sendiri, Hartini Azmi, 37, yang berasal dari Kampung Maasak, Keningau berkata, dia pernah terpaksa menunggu lama di sebuah salon, namun tiada yang berani mendekatinya kerana bimbang membawa virus Covid-19.

"Lama saya duduk menunggu untuk dicuci rambut, tapi tiada yang mahu cuci. Rupa-rupanya, mereka takut saya mungkin membawa virus (Covid-19)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, sejak laman itu wujud, mesej yang cuba disampaikan kepada orang ramai telah dibaca dan difahami, sekali gus pesakit dan keluarga pesakit Covid-19 mula menerima sokongan moral daripada masyarakat.

Selain Facebook, Hartini juga mewujudkan kumpulan WhatsApp sebagai saluran untuk memberi semangat kepada pesakit selain berkongsi tips keselamatan semasa berada di pusat kuarantin bagi membantu petugas barisan harapan.

Pengalaman sama juga turut dirasai Ella Hipin, 36, selepas beberapa ahli keluarganya disahkan positif Covid-19, mereka dilihat seolah-olah seperti 'malaikat maut'.

Dalam situasi itu, tekanan dari keadaan sekeliling adalah lebih kuat berbanding menjadi pesakit meskipun hanya berada pada tahap kedua.

Artikel Berkaitan:

"Paling sedih apabila memesan barangan basah seperti sayuran yang diiklankan dalam kumpulan WhatsApp, setelah mengetahui pesanan itu dari rumah kami, tiba-tiba sahaja barangan yang dipesan itu habis dijual walaupun baharu saja diiklankan," katanya.

Berasal dari Kampung Bariawa Ulu, Keningau, Ella berkata ahli keluarganya yang berada di bawah individu dalam siasatan (PUI) juga tidak terkecuali menerima kecaman daripada masyarakat.

Kisah sama turut dirasai Flavia Pius, 38, dari Tambunan apabila video menaiki ambulans selepas disahkan positif tular di media sosial, sekali gus menjejaskan emosinya untuk menghadapi keadaan sukar itu.

Flavia berkata, pada masa itu, dia berasa amat tertekan apatah lagi apabila mengetahui penghantar barang ke rumah juga takut untuk mendekati walaupun hanya kereta miliknya.

"Namun, penerimaan masyarakat sudah berubah, mungkin disebabkan ada kesedaran kerana maklumat mengenai Covid-19 kini banyak dipaparkan dalam media," katanya. - Bernama