Agenda luar bandar terus diperkasa

KPLB akan memastikan peruntukan dibelanjakan dengan sebaiknya ke atas program atau projek yang dirancang untuk kesejahteraan penduduk luar bandar.
KPLB akan memastikan peruntukan dibelanjakan dengan sebaiknya ke atas program atau projek yang dirancang untuk kesejahteraan penduduk luar bandar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Peruntukan berjumlah RM10.19 bilion untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang diumumkan pada Belanjawan 2021 kelmarin membolehkan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar, bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga ekonomi dan modal insan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, peruntukan itu dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi dan mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

Menurutnya, KPLB berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di atas peruntukan meliputi RM3.533 bilion dana mengurus dan RM6.657 bilion untuk pembangunan itu.

“Jumlah ini meningkat RM431 juta atau 4.42 peratus lebih tinggi daripada peruntukan 2020. Belanjawan 2021 masih memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, jumlah itu boleh dianggap besar terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang masih terkesan dengan impak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, KPLB menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Muhyiddin dan Tengku Zafrul menerusi Belanjawan 2021 untuk terus mengukuhkan kesejahteraan rakyat, menjamin kelangsungan perniagaan dan memastikan ketahanan ekonomi negara terus diperkukuhkan di saat negara serta dunia mendepani ketidaktentuan ekonomi akibat Covid-19.

Ekonomi

Dr Abd Latiff berkata, di bawah pembangunan, sejumlah RM2.32 bilion diperuntukkan bagi infrastruktur asas di luar bandar seperti bekalan elektrik luar bandar, bekalan air luar bandar, jalan luar bandar serta jalan perhubungan desa terutamanya untuk Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peruntukan itu merupakan RM169.3 juta atau 7.8 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun 2020.

“Dalam usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar, sebanyak RM90.6 juta diperuntukkan untuk program-program pembangunan ekonomi serta keusahawanan di luar bandar,” katanya.

Sejumlah RM2.32 bilion diperuntukkan bagi infrastruktur asas di luar bandar seperti bekalan elektrik luar bandar, bekalan air luar bandar, jalan luar bandar serta jalan perhubungan desa.
Sejumlah RM2.32 bilion diperuntukkan bagi infrastruktur asas di luar bandar seperti bekalan elektrik luar bandar, bekalan air luar bandar, jalan luar bandar serta jalan perhubungan desa.

Bagi program meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan miskin, miskin tegar dan kumpulan B40 luar bandar, katanya, sebanyak RM375 juta diperuntukkan di bawah Program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang merupakan kenaikan sebanyak 33.9 peratus berbanding peruntukan tahun 2020.

Menurutnya, program yang akan dilaksanakan meliputi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP).

“KPLB amat mengalu-alukan peruntukan bagi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan yang turut memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar termasuk golongan belia serta wanita,” katanya.

Dalam pada itu katanya, untuk tahun 2021, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk Program Penajaan Pendidikan MARA yang akan memberikan manfaat kepada 50,000 pelajar termasuk 21,000 pelajar baharu.

Selain itu, Dr Abd Latiff berkata, pembangunan orang asli juga tidak akan dipinggirkan apabila sejumlah RM236.2 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Manfaat

Katanya, ia meliputi program pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan serta pengukuran tanah bagi penandaan sempadan untuk memperkasa komuniti orang asli di Malaysia.

“KPLB juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM410.8 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan RM482.1 juta bagi FELCRA yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil di bawah kedua-dua agensi berkenaan,” katanya.

Peruntukan sebanyak RM410.8 juta kepada RISDA dan RM482.1 juta kepada FELCRA akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil.
Peruntukan sebanyak RM410.8 juta kepada RISDA dan RM482.1 juta kepada FELCRA akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil.

Beliau berkata, bagi menyokong usaha menggalakkan pendidikan awal kanak-kanak terutamanya di luar bandar, Program Geran Per Kapita dan Bantuan Makanan Tambahan serta penyelenggaraan dan pembaikan Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diteruskan pada tahun 2021 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM169.5 juta.

“Kementerian akan memastikan peruntukan yang disediakan itu akan dibelanjakan dengan sebaiknya ke atas program atau projek yang dirancang untuk kesejahteraan penduduk luar bandar,” katanya.

Menurutnya, KPLB akan terus memastikan perancangan dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan serta memberi impak kepada rakyat.

“Perancangan ini akan meneruskan kesinambungan inisiatif keprihatinan kerajaan demi membantu rakyat dalam waktu sukar ketika pandemik Covid-19,” katanya.