Antara idealisme dan muslihat politik

Kerajaan Perikatan Nasional dilanda badai selepas dikhabarkan beberapa rakan gabungan mungkin akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Kerajaan Perikatan Nasional dilanda badai selepas dikhabarkan beberapa rakan gabungan mungkin akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
A
A
A

Apabila merenung kewujudan koalisi atau kerjasama parti-parti politik yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) sekarang, khususnya penglibatan Pas dan UMNO di samping parti-parti lain, sepasang soalan berlegar dalam otak saya.

Soalan pertama: sejauh manakah kewujudan PN didesak oleh keperluan politik jangka pendek parti-parti dan pemimpin berkenaan? Dan kedua, sejauh manakah unsur-unsur idealisme perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air mendorong mereka untuk bekerjasama?

Soalan tersebut boleh diajukan kepada semua parti politik yang diwakili dalam pemerintahan PN tetapi lebih utama kepada Pas dan UMNO kerana kedua-dua parti ini mempunyai bilangan menteri terbanyak dalam Kabinet sekarang.

Kita menyedari bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah ahli UMNO dan bukan pula ahli Pas pada masa ini. Tetapi kekuatan Kabinet PN lebih banyak bergantung kepada kesepakatan UMNO dan Pas, walaupun peranan Muhyiddin tidak boleh dipandang ringan.

Dalam keadaan “majoriti tipis” bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong PN, Kabinet dan keadaan politik negara boleh dikatakan tidak stabil. Oleh sebab itu, demi menjamin kestabilan politik negara, perpaduan dan kesefahaman politik parti-parti yang memerintah (koalisi PN) sekarang hendaklah dipelihara dan dipupuk.

Itulah pesan tersirat di belakang soalan yang ditanyakan di atas: bagaimanakah kita menilai dua unsur utama yang menopang kewujudan kerajaan (Kabinet) PN sekarang: iaitu “political expediency” (muslihat politik jangka pendek) dan “idealisme perjuangan” (demi bangsa, agama dan tanah air).

Berikutan itu muncul pula soalan: apakah yang telah dilakukan oleh semua pihak yang terlibat untuk memastikan agar kedua-dua unsur tersebut saling menyokong demi mewujudkan satu suasana keseimbangan dinamik yang menguntungkan komponen-komponen PN khususnya sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik negara.

Saya berpendapat kedua-dua unsur tersebut sama penting, tetapi masing-masing unsur muslihat politik dan idealisme perjuangan mempunyai peranan yang berbeza dan kadar kepentingan yang berbeza, tertakluk kepada pelbagai suasana yang berbeza pula.

Artikel Berkaitan:

Dengan andaian demikian, kita juga menyedari kewujudan pihak-pihak lain yang hendak mengambil kesempatan dan mengingini supaya suasana yang tidak stabil ini berterusan hingga membawa kepada keruntuhan.

Musuh bersama

Ini bermakna pihak yang berkuasa sekarang iaitu PN berhadapan dengan dua masalah utama: pertama, memastikan keutuhan dalaman agar wujud keseimbangan antara “muslihat politik” dan “idealisme perjuangan”. Kedua, menghadapi “musuh politik” dari luar yang secara berterusan akan menggugah kestabilan.

Sehubungan itu, soalan yang wajar ditanyakan ialah: apakah usaha sistematik dan terstruktur yang dilakukan oleh parti-parti dalam PN untuk “memupuk rasa kebersamaan” dan “mengobarkan terus idealisme perjuangan” yang menyatukan mereka.

Isu atau soalan mengenai “memupuk rasa kebersamaan” dan “mengobarkan terus idealisme perjuangan” memang telah terlalu sering diulang-ulang. Tetapi jawapan terhadap soalan-soalan sedemikian sering bersifat fatamorgana, yang dilihat seakan-akan terpandang tetapi menyebabkan mata menjadi silau. Atau kadang-kadang dikiaskan sebagai janji-janji orang politik - cakap tidak serupa bikin.

Dengan latar belakang narasi di atas, saya ingin mengingatkan kita semua, terutama para pemimpin dan penyokong PN yang sedang memegang tampuk pemerintahan negara mengenai perkara-perkara berikut:

*Tiang utama yang menopang kerjasama atau kesepakatan PN sekarang terutamanya UMNO dan Pas, pada hemat saya ialah persamaan persepsi mengenai musuh bersama. Sehubungan itu, saya ingin bertanya: sejauh manakah, atau apakah usaha-usaha yang dilakukan untuk mempererat persefahaman dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Saya syak, usaha-usaha memupuk “persamaan persepsi” untuk menopang dan mempererat kerjasama tersebut masih jauh daripada mencukupi. Malah mungkin ada pemerhati yang melihat kerjasama tersebut tak lebih daripada marriage of convenience atau satu perkongsian rapuh yang belum mempunyai asas kukuh.

*Untuk memastikan kerjasama UMNO-Pas itu berpanjangan dan membuahkan hasil yang diharapkan, pelbagai persamaan yang sedia wujud antara kedua-dua belah pihak perlulah dipupuk dan diperkukuh secara sistematik, terstruktur dan berpanjangan. Kedua-dua belah pihak perlu memanfaatkan secara optimum pelbagai sumber dimiliki.

*Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohammad dalam Mingguan Malaysia bertarikh 3 Jun 2018 mengingatkan “pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti hendaklah disingkirkan.” Beliau menasihatkan pemimpin baharu dan mereka yang masih setia kepada UMNO supaya belajar daripada kesilapan-kesilapan masa lalu. Senada dengan pandangan Tun Abdul Hamid itu ialah saranan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tan Sri Profesor Dzulkifli Abdul Razak yang beliau huraikan dalam makalah Reinventing UMNO yang tersiar dalam akhbar The Sun pada 14 Mei 2018.

Tarbiah UMNO, Pas

*Saya yakin, pandangan dan nasihat Tun Abdul Hamid dan huraian Profesor Dzulkiflee itu bukan sahaja bermanfaat kepada UMNO supaya melakukan introspeksi secara sistematik, malah juga kepada Pas supaya melakukan muhasabah diri dengan penuh keinsafan. Hasil introspeksi dan muhasabah diri ini, saya percaya akan meningkatkan persefahaman dan kerjasama yang produktif kepada UMNO dan Pas sebagai wadah-wadah utama untuk meningkatkan maruah dan martabat umat Melayu

*Setiausaha Agung UMNO sekarang, Tan Sri Annuar Musa pernah berjanji akan melancarkan program tarbiah untuk ahli-ahli UMNO bagi pengisian jiwa, kefahaman terhadap dasar dan falsafah perjuangan parti.

Katanya: “UMNO diwujudkan untuk memperjuangkan nasib untung orang Melayu agar menjadi bangsa bermaruah dan bermartabat. Matlamat UMNO adalah untuk mencapai kesempurnaan kita sebagai satu bangsa yang mencapai keredaan Allah. Kita berharap dapat mentarbiyah generasi muda sebagai santapan rohani dan jiwa mereka. Allah menuntut kita menjaga bangsa, maruah, agama, keturunan dan zuriat.”

Saya yakin, program tarbiah untuk ahli-ahli UMNO yang dijanjikan oleh Annuar itu juga bermanfaat untuk penyokong-penyokong Pas. Saya ingin mencadangkan supaya program tarbiah ini diadakan secara bersama demi meningkatkan semangat kebersamaan serta mempererat semangat ukhuwah antara penyokong Pas dan UMNO.

*Datuk Dr Firdaus Abdullah ialah bekas Ahli Dewan Negara dan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka