Golongan B40 teruja, M40 berduka?

Muhyiddin bersama ahli Kabinet beliau memasuki Parlimen untuk pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat.
Muhyiddin bersama ahli Kabinet beliau memasuki Parlimen untuk pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat.
A
A
A

Sekilas pandang, Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu, disifatkan sebagai belanjawan paling besar dalam sejarah negara dengan nilai RM322.5 bilion.

Belanjawan yang julung kali dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), boleh dianggap sebagai belanjawan tri-krisis pada saat Malaysia dan dunia dilanda gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19).

Tidak ketinggalan bajet ini menjadi tumpuan kerana dibentangkan dalam keadaan situasi politik negara yang kurang stabil dan tidak menentu.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2021 meliputi RM236.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion (21.4 peratus) lagi bagi perbelanjaan pembangunan, manakala baki RM17 bilion untuk Tabung Kumpulan Wang Covid-19.

Pada permukaannya, belanjawan dibentangkan itu sememangnya menyentuh keperluan rakyat terkesan Covid-19 terutama golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga dan agensi-agensi kerajaan yang bertungkus-lumus menangani ancaman pandemik itu.

Di tambah pula keputusan kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan wang caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan sikap keterbukaan untuk mendengar suara rakyat marhaen.

Bagaimanapun, segelintir rakyat sangsi dengan ketelusan dan keikhlasan kerajaan untuk membela nasib kumpulan pertengahan seperti M40 yang turut terjejas.

Persoalan paling utama, adakah belanjawan terbesar dalam sejarah negara itu benar-benar mencakupi keperluan rakyat B40 dan M40, atau sekadar meraih sokongan 221 ahli Parlimen bagi membolehkan kerajaan PN terus bertahan?

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan, keputusan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP sebanyak RM6,000 dalam tempoh 12 bulan bakal memberi impak positif kepada 600,000 pencarum bersasar, terutamanya mereka yang hilang pekerjaan pada saat Covid-19.

Namun begitu, kerajaan sepatutnya tidak perlu terlalu formal dalam menyalurkan bantuan dan boleh meluaskannya kepada golongan M40, termasuk pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) memandangkan golongan itu dianggap mudah jejas dan miskin.

“Dalam keadaan Covid-19 semakin kritikal, sepatutnya kerajaan mengambil peranan lebih membantu rakyat dan mencontohi negara Singapura dan Australia apabila semua lapisan rakyat mendapat bantuan kewangan secara terus daripada kerajaan,” kata Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Azlan Awang kepada Sinar Ahad semalam.

Bantuan kerajaan untuk kumpulan rentan.
Bantuan kerajaan untuk kumpulan rentan.

Azlan juga menekankan kepentingan bantuan kewangan diberikan kepada golongan B40 dan M40 disalurkan secepat mungkin bagi merangsang kembali ekonomi domestik.

“Adakah belanjawan ini dianggap sebagai belanjawan mesra rakyat? Rasanya tidak begitu mesra kerana saya berpandangan ia lebih melindungi ekonomi negara dan syarikat-syarikat penting kepada sektor pekerjaan.

“Secara keseluruhan, kerajaan sepatutnya menyakinkan rakyat bahawa mereka benar-benar mahu memerangi Covid-19 dan menyentuh kebajikan keseluruhan rakyat terkesan, bukan sekadar mencakupi segmen dan industri tertentu semata-mata,” katanya.

Bantuan pukul rata

Pandangan Azlan bagaimanapun disangkal pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Kee Ping yang melihat Belanjawan 2021 sebagai sebuah satu pakej tawaran menyeluruh dan tidak sekadar tertumpu kepada keperluan B40 dan M40 semata-mata.

Kee Ping turut menyifatkan tindakan kerajaan hanya membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP kepada pencarum bersasar adalah tepat kerana hakikat sebenar, bukan semua rakyat negara ini memerlukan bantuan pada saat pandemik Covid-19 kritikal.

Azlan dan Kee Ping
Azlan dan Kee Ping

“Jumlah 700,000 individu menganggur daripada keseluruhan 14 juta pekerja di Malaysia menunjukkan angka pengangguran sebenarnya tidak sampai tujuh peratus pun.

“Paling penting pada saat krisis Covid-19, usaha kerajaan menjaga mereka yang benar-benar memerlukan bantuan adalah lebih penting dengan bantuan tidak boleh disalurkan secara pukul rata kepada 32.4 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Kee Ping bagaimanapun menyeru kerajaan untuk mengkaji semula sistem pengambilan pekerja asing yang sebenarnya menjadi punca rakyat negara ini bukan sahaja kekurangan peluang pekerjaan, sebaliknya berdepan masalah gaji rendah.

Selain itu, golongan B40 dan M40 yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 juga harus memberanikan diri menceburi sektor perladangan terutama komoditi kelapa sawit yang sebenarnya mampu menawarkan pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyifatkan impak daripada belanjawan kurang memuaskan dengan pemberian moratorium pinjaman bank cuma memanjangkan tempoh bayaran, namun faedah bank tidak diturunkan.

“Saya berpandangan golongan M40 memang tak ada apa-apa manfaat kecuali pemberian pengecualian cukai sebanyak satu peratus bagi golongan berpendapatan tahunan RM50,001 hingga RM70,000,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, beliau menyifatkan Belanjawan 2021 tidak memberikan satu rancangan strategik untuk melindungi pekerjaan golongan B40 dan M40.

Kian Ming
Kian Ming

“Jikalau tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan atau berlaku sekali lagi pada tahun 2021, banyak majikan akan gulung tikar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Dr Faiz Na’aman melihat Belanjawan 2021 adalah bukti belanjawan bantuan bersasar diusahakan kerajaan PN pada waktu bencana.

Meskipun beliau mengakui golongan M40 kurang mendapat manfaat daripada belanjawan berkenaan, namun sebenarnya golongan itu perlu memahami kerajaan terpaksa mendahulukan rakyat yang benar-benar susah.

Faiz Na’aman dan Wong Chen
Faiz Na’aman dan Wong Chen

“Sebenarnya, kerajaan PN ada hasrat untuk menjenguk kembali kebajikan golongan M40 susulan golongan itu kurang diberi perhatian pada setiap belanjawan.

“Cuma masalahnya, negara berdepan bencana sangat luar biasa dengan kedudukan kewangan terhad,” katanya.

Faiz turut menyeru semua pihak terutama ahli Parlimen untuk melihat intipati Belanjawan 2021 dari sudut positif dan tidak membuat keputusan merugikan rakyat.

Bantuan Sara Hidup dijenamakan semula kepada Bantuan Prihatin Rakyat dengan pertambahan kadar kenaikan bantuan.
Bantuan Sara Hidup dijenamakan semula kepada Bantuan Prihatin Rakyat dengan pertambahan kadar kenaikan bantuan.