X

Kindly register in order to view this article
!

Tengku Zafrul nafi kurangkan peruntukan kesihatan

Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam. Gambar kecil: Tangkap layar Facebook Tengku Zafrul.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan kerajaan mengurangkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Belanjawan 2021.

Melalui penjelasan yang dimuat naik dalam Facebook beliau malam ini, Tengku Zafrul berkata, dalam Belanjawan 2021, peruntukan untuk KKM adalah sebanyak RM31.9 bilion, manakala pada 2020 sebanyak RM30.6 bilion.

“Hakikatnya, dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis (consumables) sebanyak RM4.29 bilion diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran 080000 (Program Khusus).

“Ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion.

“Inilah sebabnya mengapa jumlah peruntukan di bawah butiran 020000 (Perubatan) menunjukkan ‘pengurangan’ daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021),” kata beliau semalam.

Menurutnya, butiran berkenaan turut mengandungi peruntukan bagi pelbagai bidang kepakaran kesihatan termasuk nefrologi dan farmasi.

“Hakikat sebenar adalah tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM420 juta untuk meningkatkan Rancangan Makanan Tambahan dengan bekalan susu setiap hari persekolahan buat manfaat murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, peruntukan berkenaan dibuat kerana kerajaan mahu kanak-kanak di Malaysia membesar dengan sihat dan mendapat pertumbuhan fizikal serta mental yang menyeluruh.

Selain itu, katanya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM475 juta sebagai peruntukan tambahan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan Covid-19.

“Ini merangkumi RM318 juta bagi penyediaan peralatan kelengkapan perlindungan diri dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan kita, RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19 dan RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di hospital pengajar universiti,” katanya.

Salam Hormat. Pelbagai pihak telah membuat tohmahan tentang peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2021 (B2021). Saya...

Posted by Tengku Zafrul on Saturday, November 7, 2020


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!