Terpaksa pujuk kawan buka pintu kedai

Wan Mahmood
Wan Mahmood
A
A
A

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam dalam sejarah masyarakat majmuk di Malaysia.

Tragedi di Kuala Lumpur itu telah meragut 196 nyawa dan menyebabkan kira-kira 6,000 orang hilang tempat tinggal, 211 kenderaan musnah manakala 753 bangunan rosak atau terbakar.

Namun, bagi Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh, kejadian yang tercetus akibat pertelingkahan politik dalam Pilihan Raya Umum ketiga negara itu tidak harus dilihat dari sisi buruk semata-mata kerana ada juga teladan dan pengajarannya.

Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Penerangan berkata, beliau telah melihat sendiri bagaimana seluruh penjawat awam tidak kira bangsa di kementeriannya telah bertindak mengetepikan perkauman sempit bagi berbakti kepada negara.

Menurutnya, walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, penjawat awam terbabit langsung tidak memberikan reaksi negatif terhadap peristiwa tersebut.

Wan Mahmood (dua dari kanan) ketika mewakili delegasi Malaysia pada acara ASEAN Meeting on Media Corporation pada sekitar tahun 1970-an.
Wan Mahmood (dua dari kanan) ketika mewakili delegasi Malaysia pada acara ASEAN Meeting on Media Corporation pada sekitar tahun 1970-an.

“Maksud saya ialah mereka tidak menunjukkan sifat perkauman ketika terdapat sekumpulan orang sedang merusuh.

“Sebaliknya mereka terus bekerja siang dan malam bersama-sama sepanjang berlakunya ketegangan yang melibatkan kaum ketika itu,” katanya kepada Sinar Ahad.

Wan Mahmood yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor berkata, beliau ketika itu telah diberikan tugas khas iaitu menjamin keselamatan petugas yang berulang-alik dari rumah untuk berkhidmat di tempat masing masing bagi memastikan perkhidmatan radio dan televisyen RTM tidak terputus di seluruh Malaysia semasa tempoh darurat.

“Pada masa itu, saya melihat sendiri kesemua mereka tidak sedikit pun menunjukkan kecurigaan antara satu sama lain dan tetap bersama-sama berulang alik-dari rumah ke tempat bertugas di Angkasapuri.

Artikel Berkaitan:

“Ada kalanya mereka di hantar pulang pada larut malam dalam keadaan jalan yang sunyi sepi.

“Malah, terdapat juga situasi di mana mereka terpaksa mengambil keputusan untuk tidur di pejabat kerana situasi yang tidak membenarkan mereka pulang ke rumah,” cerita beliau.

Menurut Wan Mahmood, fakta yang mengatakan bahawa petugas kerajaan pada ketika itu adalah terdiri daripada pelbagai kaum bukanlah cerita dongeng.

Jelas beliau, ini dibuktikan apabila terdapat juga beberapa bahagian di kementeriannya seperti Bahagian Televisyen dan Perancang Program diketuai oleh individu bukan Melayu.

Bercerita lanjut mengenai keadaan di Kuala Lumpur semasa kejadian, Wan Mahmood berkata, ramai penduduk yang tinggal di sekitar bandar berada dalam ketakutan selepas suasana tegang pada lewat petang 13 Mei berkenaan.

Detik cemas

“Pada masa itu, keluarga saya tinggal di kediaman rasmi kerajaan di Jalan Duta berhadapan bangunan Parlimen.

“Di dalam rumah yang cuma ada tiga bilik tidur, kami tinggal dalam keadaan berhimpit, terpaksa tinggal bersama lebih 30 orang saudara terdekat.

“Mereka terpaksa berpindah dari tempat-tempat yang kurang selamat. Kami juga terpaksa hidup dan makan ala kadar dengan tanaman yang ada sekitar laman rumah seperti ubi kayu dan sayuran.

“Malah, kami juga kehabisan beras kerana semua kedai dan pasar ditutup selama lebih seminggu akibat perintah berkurung,” katanya.

Disebabkan keadaan tersebut, beliau telah mengambil keputusan nekad mencari bekalan makanan di kedai seorang kawannya bernama Adam yang terletak di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam dalam sejarah masyarakat majmuk di Malaysia. Gambar hiasan. Foto: Bernama
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam dalam sejarah masyarakat majmuk di Malaysia. Gambar hiasan. Foto: Bernama

Cerita Wan Mahmood, pada masa itu beliau telah mengarahkan pasukan polis pengiringnya berhenti di satu tempat dan membiarkannya berjalan kaki ke arah kaki lima yang menempatkan kedai runcit rakannya itu.

“Saya turun dari kereta seorang diri dan apabila sampai di hadapan kedai tersebut, saya mengetuk pintu kedainya dan memanggil namanya.

“Kawan saya itu mematikan diri agak lama kerana ketakutan memandangkan perintah berkurung telah dikuatkuasakan.

“Pada masa yang sama ada pemilik kedai lain di hadapannya yang membuka pintu untuk melihat apa yang terjadi di luar.

“Ini menyebabkan askar yang berada di situ melepaskan beberapa das tembakan amaran.

“Saya berasa sangat cemas. Dalam ketakutan saya terus terjun masuk ke dalam longkang untuk menyelamatkan diri. Saya hanya keluar apabila keadaan telah kembali tenang dan selamat,” ujarnya.

Selepas itu barulah beliau berjaya memujuk kawannya untuk membuka pintu kedai dan membenarkannya masuk bagi mendapatkan bekalan makanan.

Merenung kembali pengalaman yang beliau tempuhi ketika itu, Wan Mahmood berkata, rakyat Malaysia perlu tahu akan tindakan murni yang ditunjukkan oleh penjawat awam semasa berlakunya episod hitam dalam sejarah negara.

“Sungguhpun Peristiwa 13 Mei boleh dianggap seperti satu detik sejarah yang amat dikesali oleh rakyat yang jujur dan sayangkan negara, namun ia boleh dianggap seperti mutiara di dalam lumpur

“Ini kerana di sebalik wujudnya golongan rakyat yang termakan dengan hasutan politik kebencian, masih ramai yang boleh dijadikan teladan,” jelasnya yang juga merupakan Orang Besar Daerah Gombak.

PROFIL

Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh

Umur: 90 tahun

Tempat lahir: Kuala Lipis, Pahang

Anak: Empat orang

Isteri: Puan Sri Siti Sara Husin

Jawatan pernah disandang:Pegawai Daerah Sabak Bernam

Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Penerangan

Ahli Dewan Diraja Selangor

Orang Besar Daerah Gombak

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia