'Terima hakikat, PKPB memang perlu dilaksanakan'

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Rakyat Pulau Pinang diminta menerima pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Pusat hari ini berikutan kes baharu jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) yang dicatatkan masih tinggi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan fakta dan situasi semasa kes Covid-19 menunjukkan pelaksanaan perintah itu adalah perlu.

Menurutnya, rakyat diminta bertenang berikutan PKPB tidak begitu ketat berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

"Keputusan telah dibuat berdasarkan fakta. Pulau Pinang perlu menerima hakikat bahawa situasi semasa ini memang memerlukan pelaksanaan PKPB.

“Bagaimanapun, PKPB tidak begitu ketat berbanding PKP yang mana aktiviti ekonomi masih boleh diteruskan, cuma aktiviti keagamaan serta aktiviti sosial sahaja mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menyampaikan pek bantuan sara hidup kepada golongan terpilih sempena sambutan Deepavali di Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia Pulau Pinang di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, beliau berharap sambutan Deepavali pada 14 November ini disambut secara sederhana dengan mematuhi SOP PKPB.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) Covid-19 berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak dimaklumkan lebih awal sehingga pelaksanaan PKPB diumumkan petang tadi.

Artikel Berkaitan:

"Kita langsung tidak diberitahu dengan lebih awal tentang ini (pelaksanaan PKPB).

"Oleh demikian, mesyuarat JKKNPP yang dijadualkan Isnin ini akan terus membincangkan mengenai kaedah-kaedah penguatkuasaan SOP PKPB di seluruh negeri ini," katanya.

Hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan supaya PKPB dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sidang khas MKN pagi tadi mengambil keputusan sedemikian sebagai tindakan memperketatkan lagi SOP dan segera bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang