Melaka United waspada taktikal Jerman

Zainal Abidin (kiri) mengakui pasukannya sudah bersedia untuk berdepan Selangor malam ini.
Zainal Abidin (kiri) mengakui pasukannya sudah bersedia untuk berdepan Selangor malam ini.
A
A
A

Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan mahu pemainnya berwaspada dengan ancaman yang akan dihadirkan Selangor dalam pertemuan TM Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Menurutnya, beliau percaya skuad Gergasi Merah itu akan hadir dengan taktikal berbeza apatah lagi dibimbing oleh jurulatih baharu dari Jerman, Michael Feichtenbeiner yang telah membawa perkembangan positif sejak mengambil alih pasukan pada September lalu.

“Sudah tentu Selangor akan hadir dengan permainan dan taktikal yang berbeza daripada pertemuan terakhir kami yang menyaksikan kami berjaya mengikat mereka 1-1 dalam saingan Liga Super.

“Jadi, sebab itu kita telah mempersiapkan pasukan secara rapi kerana ini juga adalah perlawanan kalah mati dan hanya keputusan menang yang akan membawa pasukan ke pusingan seterusnya,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin dengan kemampuan skuad kesebelasan utama yang akan dipilihnya nanti untuk memberikan saingan sengit terhadap lawan yang juga merupakan juara 33 kali Piala Malaysia.

“Saya tak menafikan kita bertarung dengan pasukan gergasi yang sudah menjuarai 33 kali Piala Malaysia dan kita telah bersedia dengan perancangan untuk membolehkan skuad Hang Tuah melepasi pusingan pertama dengan kejayaan,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan pemain menunjukkan mutu permainan dan disiplin tinggi sepanjang 90 minit perlawanan bagi merealisasikan impian pasukan mara lebih jauh dalam kempen kali ini.

“Bagi saya sesiapa yang menyarung jersi Selangor akan ada kelebihan kerana bermain dengan pasukan gergasi tetapi saya beritahu pemain (Melaka United) bahawa mereka kena berikan persembahan yang baik untuk memenangi perlawanan itu nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, sejak dipimpin Feichtenbeiner, Selangor menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila memenangi dua perlawanan terakhir Liga Super dengan kemenangan besar.

Skuad Gergasi Merah itu menang 7-0 ke atas PDRM FA dan 6-1 ke atas Felda United untuk membolehkan mereka naik ke tangga kelima Liga Super.