X

Kindly register in order to view this article
!

RM4.79 bilion bukti keprihatinan bangunkan sektor agromakanan

Subsidi dan insentif yang diterima bagi sektor padi akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara. (Gambar hiasan) - Foto Bernama Gambar kecil: Dr Ronald Kiandee
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan RM4.79 bilion bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan sektor agromakanan kepada ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan itu termasuk perbelanjaan mengurus RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM1.51 bilion.

“Di bawah perbelanjaan mengurus, MAFI telah menerima RM1.72 bilion bagi pemberian subsidi, insentif dan bantuan untuk petani dan nelayan pada tahun 2021.

“Insentif dan bantuan yang akan diberikan juga antara lain untuk meningkatkan daya saing pengeluaran padi dan beras menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan, selain meringankan beban mereka khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar masa ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kiandee berkata, jumlah subsidi dan insentif yang diterima telah meningkat sebanyak RM50 juta berbanding tahun sebelumnya, dengan subsidi baja padi bukit telah diperkenalkan semula dengan peruntukan sebanyak RM40 juta.

Katanya, keseluruhan subsidi dan insentif yang diterima bagi sektor padi akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara.

“Manakala, Elaun Sara Hidup Nelayan menerima pertambahan peruntukan sebanyak RM30 juta dengan peningkatan elaun daripada RM250 kepada RM300 sebulan bagi setiap nelayan.

“Pertambahan ini akan memanfaatkan 40,000 nelayan, di mana kerajaan telah mengembalikan elaun yang sebelum ini telah dipotong, supaya dapat meringankan beban yang ditanggung para nelayan yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.

Selain itu beliau berkata, MAFI juga telah menerima peruntukan sebanyak RM410 juta bagi pelaksanaan beberapa inisiatif utama, yang merangkumi Program Kebun Komuniti atau Kebuniti.

“Manakala Skim Pembiayaan Mikrokredit di bawah Agrobank yang akan memberikan lebih banyak peluang kepada PKS, gologan wanita dan orang muda, yang ingin menceburi bidang agromakanan sebagai modal permulaan, manakala bagi pengusaha sedia ada boleh menggunakannya untuk memulakan semula perniagaan bagi menggantikan modal perniagaan yang terjejas sepanjang tempoh ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah ketika merasmikan program pelepasan 25,000 benih udang ke Perairan Umum di Sungai Rambai, Melaka hari ini berkata, sektor pertanian menyumbang 7.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 dan diunjurkan berkembang 4.7 peratus pada tahun depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!