X

Kindly register in order to view this article
!

Mobiliti penduduk dan ekonomi

A
A

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Belanjawan 2021 mencadangkan peruntukan sebanyak RM322 bilion atau RM7.8 bilion lebih besar daripada tahun yang ada sekarang.

Pertambahan 2.42 peratus itu tidaklah banyak malah boleh disifatkan sebagai terlalu kecil untuk tujuan mencapai matlamat cogan kata ‘Teguh Kita, Menang Bersama’.

Apa yang dilakukan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan memperuntukkan lebih banyak wang untuk pembangunan.

Beliau menambah peruntukan pembangunan sebanyak RM13 bilion kepada RM69 bilion. Maksudnya, nisbah belanja mengurus dikurangkan, namun lebih tinggi daripada peruntukan tahun semasa.

Akan tetapi dalam keadaan ekonomi yang tertekan seperti sekarang dan ditambah pula keperluan mengawal wabak Covid-19, pilihan yang ada kepada beliau adalah terhad.

Cara kerajaan mengimbangi keperluan memesatkan semula tempo ekonomi dengan mengawal penularan Covid-19 akan menentukan kejayaan atau kegagalan matlamat belanjawan yang disebutkan di atas.

Realitinya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan dari masa ke masa di pelbagai lokasi sejak 18 Mac lalu telah mencekik ekonomi. Bank Negara menganggarkan negara kerugian antara RM2 bilion dan RM2.4 bilion akibat penutupan ekonomi.

Apabila ekonomi menguncup, hasil kerajaan akan berkurangan. Untuk menampung kekurangan itu, Tengku Zafrul telah pun membayangkan kerajaan akan meminjam RM37 bilion daripada pasaran tempatan.

Dalam bahasa yang amat mudah, ekonomi mana-mana negara pun tidak dapat berfungsi tanpa mobiliti. Maksudnya, tanpa pergerakan pekerja, pengguna dan barang-barang, ekonomi akan terhenti.

Maka timbul persoalan, apa guna terlindung dan selamat daripada Covid-19, tetapi hilang pekerjaan dan tidak ada apa-apa untuk dimakan?

Contoh paling mudah difahami adalah kemerosotan teruk ekonomi Langkawi walaupun pulau itu bebas daripada Covid-19.Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan ke atas Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bermula 14 Oktober lalu, satu negara menderita kesannya.

Ini adalah kerana dengan lapan juta penduduk, Lembah Klang merupakan penjana utama ekonomi negara. Jadi, apabila mobiliti penduduknya dihadkan maka pusat-pusat pelancongan yang bebas wabak pun turut tercekik.

Jawapan yang sahih mungkin terletak kepada kemampuan kita mendapat akses kepada penawar Covid-19 yang sedang diuji atau mula diedarkan secara terhad. Maklumat mengenai hal ini wajar dikongsi dengan orang ramai bagi menaikkan semangat dan keyakinan mereka.

Adalah tepat bagi kerajaan memberi keutamaan kewangan kepada usaha-usaha mengawal Covid-19 walaupun ada pendapat mengatakan masih tidak cukup meyakinkan.

Dalam kaitan ini adalah amat menyedihkan dan menghampakan yang sumbangan kita dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin Covid-19 langsung tidak menyerlah walaupun sistem kawalan dan rawatan kita boleh dikira baik.

Tambah menghampakan adalah dasar kecukupan vaksin dan penubuhan sebuah pusat vaksin kebangsaan sudah lama diuar-uarkan, tetapi sampai hari ini tidak menampakkan hasil yang konkrit. Kita masih terlalu banyak merancang, tetapi hambar dalam pelaksanaan.

Pendek kata, walaupun Belanjawan 2021 cuba meringankan beban orang ramai dengan menyediakan pelbagai bantuan dan kelonggaran kewangan, jawapan mutakhir kepada penderitaan mereka sekarang adalah membenarkan mobiliti supaya ekonomi boleh kembali berfungsi.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!