Jeffrey kecewa peruntukan infrastruktur Sabah hanya RM5.1 bilion

Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan peruntukan bagi pembangunan infrastruktur untuk negeri ini mengecewakan dan tidak mencukupi.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, peruntukan itu adalah lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu RM5.2 bilion dan ia menunjukkan gambaran bahawa kerajaan Persekutuan memberikan layanan sama seperti kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, Jeffrey berkata, kerajaan negeri memahami keadaan yang dihadapi kerajaan Persekutuan ketika ini di mana kemerosotan ekonomi bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi seluruh dunia turut terkesan.

"Saya berharap kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan jumlah yang lebih besar dalam belanjawan persekutuan tahun hadapan untuk pembangunan infrastruktur selepas kerajaan berjaya menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

"Penambahan peruntukan infrastruktur untuk Sabah sangat penting kerana negeri ini begitu ketinggalan berbanding dengan negeri lain.

"Kerajaan Persekutuan mengamalkan dasar 'kemakmuran bersama' dan Sabah sebagai rakan yang sama dalam persekutuan harus berkongsi manfaat daripada dasar ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas berhubung belanjawan yang diberikan di Sabah menerusi pembentangan Belanjawan 2021, Jeffrey berkata, berdasarkan pengagihan peruntukan pembangunan, Sabah akan mendapat manfaat bukan hanya RM5.1 bilion semata-mata.

"Secara keseluruhan perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM69 bilion iaitu termasuk pelbagai projek seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, pembangunan pertanian, koridor ekonomi, dan beberapa insentif lain untuk merangsang ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Dalam belanjawan ini, kerajaan Persekutuan juga mengumumkan geran khas sebanyak RM1,000 untuk peniaga, pemandu teksi, pemandu e-hailing, dan pemandu pelancong di Sabah," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kementerian yang sama di peringkat kerajaan Pusat untuk memanfaatkan peruntukan dalam industri pertanian.

"Ini bagi memastikan rakyat Sabah turut mendapat keuntungan daripada peruntukan pertanian yang besar dengan berjumlah RM4.8 bilion," katanya.