Beli token RM100 dapat layanan GRO

Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur semalam dan menahan 29 individu.
Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur semalam dan menahan 29 individu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini menawarkan pelekat token serendah RM100 sebagai pengganti kalungan bunga untuk pelanggan mendapatkan layanan gadis pelayan (GRO) warga asing.

Itu antara 'tawaran' yang dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia susulan penahanan 29 individu termasuk 25 wanita warga asing dalam serbuan di pusat hiburan tersebut semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ketika serbuan kira-kira jam 8 malam itu, terdapat wanita yang disyaki GRO cuba meloloskan diri menggunakan pintu di belakang pentas dan tandas wanita, bagaimanapun tindakan mereka berjaya digagalkan.

Susulan itu, katanya, seramai 25 wanita disyaki GRO ditahan membabitkan 18 warga Vietnam, selain Thailand (tiga) serta masing-masing satu warga Laos, Kemboja dan Filipina.

"Selain itu, tiga lelaki warga Myanmar dipercayai pelanggan serta pekerja premis terbabit. Kita turut menahan dua warga tempatan termasuk seorang wanita disyaki adalah juruwang serta 'mummy' bagi GRO terbabit.

"Siasatan awal mendapati pelanggan ditawarkan 'token stickers' yang menjadi trend baharu bagi GRO mendapatkan tips bermula RM100 hingga RM1,000.

"Tips ini akan diberikan pelanggan berdasarkan pilihan pelanggan terhadap gadis yang disukai sebelum mendapatkan layanan istimewa. Soal siasat juga mendapati GRO terbabit mampu memperolehi tips mencecah RM2,000 sehari," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya sekiranya negatif.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya sekiranya negatif.

Khairul Dzaimee berkata, semakan dokumen mendapati wanita asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan berselindung sebagai pelancong untuk melakukan kerja tidak bermoral.

Menurutnya, semakan turut mendapati pusat hiburan yang dikawal beberapa orang tonto tersebut hanya memiliki lesen perniagaan restoran dan kedai makan, bukannya lesen hiburan atau kelab malam.

Katanya, beliau difahamkan sebanyak 29 kompaun telah dikeluarkan oleh polis terhadap pelanggan pusat hiburan berkenaan.

"Kesemua yang ditangkap telah dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya (PKD) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas disahkan negatif," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.