Belanjawan 2021: Kerajaan dengar keluhan rakyat Sabah

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak
A
A
A

KOTA KINABALU - Usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang sering menyuarakan bahawa kerajaan Sabah perlu menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan jelas mendapat perhatian menerusi Belanjawan 2021.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menyambut baik pembentangan belanjawan semalam yang dilihat mempunyai tiga matlamat induk iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan ekonomi dan ketahanan ekonomi.

"Saya percaya Belanjawan 2021 telah diperincikan sebaiknya dengan fokus kepada rakyat dan ekonomi negara dalam menangani impak koronavirus (Covid-19) seperti yang disuarakan oleh rakyat dan juga ahli politik merentas parti dan fahaman.

"Peruntukan berjumlah RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur Sabah, selain daripada RM3.8 bilion lagi untuk kesinambungan projek Lebuhraya Pan Borneo adalah antara peruntukan untuk Sabah yang saya alu-alukan," katanya dalam catatan di blog miliknya, semalam.

Salleh juga menyambut baik pemberian Geran Khas Prihatin Tambahan berjumlah RM1,000 untuk peniaga, penjaja, pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan juga pemandu pelancong di Sabah.

"Kerajaan telah mendengar keluhan rakyat Sabah yang berhadapan dengan ancaman Covid-19 yang paling teruk setakat ini di Malaysia.

"Malah subsidi padi bukit yang diperkenalkan semula akan turut memanfaatkan lebih 10,000 pengusaha penanaman padi di Sabah," katanya.

Dalam pada itu, Salleh berkata, apa yang penting sekarang adalah untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan peruntukan itu.

Artikel Berkaitan:

"Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor telah memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan bekerjasama dengan rakan Persekutuan lain untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan. Pada pandangan saya, ia selari dengan konsep dan semangat Persekutuan, kepercayaan dan tanggungjawab harus diberi kepada kerajaan Sabah sendiri untuk melaksanakan peruntukan itu.

"Dengan kata lain, kerajaan Persekutuan menyerahkan (delegate) dan desentralisasi kepada kerajaan negeri segala urusan perancangan pembangunan, proses tender dan juga pemantauan projek. Justeru kerajaan Sabah turut memikul tanggungjawab untuk memantau segala pelaksanaan dan keberkesanan projek bagi mengurangkan atau lebih baik, menghapuskan sebarang ketirisan," katanya.

Tambah Salleh lagi, pembentangan itu adalah satu permulaan kepada langkah-langkah perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan keteguhan ekonomi negara.

"Langkah kedua adalah memastikan setiap pihak bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan dan keberkesanan Belanjawan 2021.

"Dengan angka jangkitan baharu Covid-19 mencecah 1,755 kes semalam, kerjasama ini tidak boleh ditangguh atau dipertikaikan lagi," katanya.