Komitmen tinggi kerajaan terhadap pertahanan negara

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertambahan peruntukan yang diterima oleh Kementerian Pertahanan sebanyak RM16 bilion dalam Belanjawan 2021 dengan peningkatan 1.8 peratus berbanding belanjawan sebelumnya, menunjukkan komitmen tinggi kerajaan terhadap keutamaan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan persekitaran keselamatan tidak menentu dan ancaman keselamatan bukan tradisional menjadi dua faktor yang memerlukan tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tinggi.

Menurutnya, kenaikan yang ketara adalah peruntukan belanja pembangunan (DE) yang diterima iaitu sebanyak RM4.50 bilion, menyaksikan peningkatan sebanyak RM1.42 bilion atau 46.1 peratus.

“Peruntukan bagi belanja mengurus (OE) adalah sebanyak RM11.35 bilion, mengalami penurunan sebanyak RM1.14 bilion atau 9.1 peratus.

“Pengurangan ini adalah disebabkan oleh peningkatan peruntukan yang besar di bawah DE bagi senggaraan dan naik taraf aset-aset utama ATM untuk memastikan kesiagaan sentiasa pada tahap tertinggi,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam bertemakan ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ dengan peruntukan RM322.5 bilion, yang tertinggi pernah direkodkan.

Beliau berkata bagi belanjawan kali ini, kementerian akan menumpukan kepada dua fokus utama iaitu peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan serta kebajikan warga ATM dan Veteran.

“Daripada jumlah peruntukan yang diterima, antara perkara yang akan dilakukan termasuk perolehan aset baharu melibatkan peruntukan RM1.6 bilion, penyelengaraan aset utama (RM2.3 bilion) dan pembinaan hampir 1,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) (RM500 juta).

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, sebanyak RM105.3 juta akan diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi menjaga kebajikan Veteran ATM, program peningkatan kemahiran dan latihan semula oleh Perhebat untuk bakal Veteran (RM30 juta) serta bantuan khas kewangan RM300 untuk Veteran berpencen dan tidak berpencen,” katanya.

Pada masa sama, Belanjawan 2021 mengambil kira peranan ATM dalam menangani pandemik Covid-19 dan Ops Benteng yang melibatkan gerak kerja bersepadu agensi keselamatan dalam mengawal sempadan negara.

Beliau berkata selain itu, kementerian turut diberikan sebahagian daripada RM27 juta yang diperuntukkan kerajaan kepada Cyber Security bagi meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.- Bernama