IPD Serdang tolak 613 permohonan rentas negeri

Razali melakukan pemantauan di lokasi sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi hari ini.
Razali melakukan pemantauan di lokasi sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi hari ini.
A
A
A

SERDANG - Sebanyak 17,584 permohonan permit rentas negeri diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam tempoh tiga minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16,971 permohonan diluluskan manakala 613 lagi ditolak kerana mengemukakan alasan tidak munasabah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, antara alasan yang ditolak adalah ingin bertemu adik, ahli keluarga dan sebagainya.

"Tiada alasan munasabah yang relevan seperti kecemasan kritikal, kebajikan, ahli keluarga jatuh sakit dan sewaktu dengannya.

"Kita menggunakan budi bicara dan berdasarkan peraturan yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kita terpaksa menolak permohonan yang tidak menepati syarat yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas memantau sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi hari ini.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya juga telah mengeluarkan 680 kompaun atas pelbagai kesalahan antaranya merentasi sempadan negeri tanpa kebenaran dan muatan penumpang kenderaan yang melebihi jumlah ditetapkan.

Dalam kes berlainan, kertas siasatan berhubung enam anggota polis berusia lingkungan 20 hingga 40-an dari Balai Polis Serdang yang ditahan selepas dipercayai terlibat melakukan pemerasan terhadap orang awam akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu depan.

Jelasnya, kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan dan akan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk tindakan susulan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita juga masih menunggu laporan patalogi susulan salah seorang daripada anggota berkenaan positif dadah,” katanya.

Sebelum ini, Razali mengesahkan penahanan enam anggota berpangkat Koperal, Lans Koperal dan Konstabel itu oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas disyaki melakukan pemerasan terhadap orang awam di sekitar kawasan The Mines dan Balakong.