Lima pelajar pukul junior ditahan

 Polis menahan lima pelajar lelaki yang kesemuanya berusia 16 tahun semalam kerana dipercayai terlibat dengan satu pergaduhan di sebuah sekolah berasrama di daerah ini.
Polis menahan lima pelajar lelaki yang kesemuanya berusia 16 tahun semalam kerana dipercayai terlibat dengan satu pergaduhan di sebuah sekolah berasrama di daerah ini.
A
A
A

KLUANG - Polis menahan lima pelajar lelaki yang kesemuanya berusia 16 tahun semalam kerana dipercayai terlibat dengan satu pergaduhan di sebuah sekolah berasrama di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, semua remaja tersebut ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 2.45 petang.

"Semua pelajar ini ditahan selepas seorang wanita membuat laporan polis pada jam 3 petang kelmarin memberitahu anak dan rakannya berusia 14 tahun telah dipukul beberapa pelajar senior.

"Hasil siasatan, wanita itu mendapat tahu perkara itu selepas memeriksa mesej dalam telefon bimbit anaknya yang mengadu kepada rakannya bahawa mereka dipukul pelajar senior," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku di bilik asrama sekolah berkenaan serta berpunca daripada salah faham antara mangsa dan pelajar senior.

Kedua-dua mangsa, katanya, sudah mendapat rawatan dan diberi amaran oleh pelajar senior agar tidak menceritakan kejadian kepada pihak sekolah.

Menurutnya, ujian air kencing terhadap semua suspek adalah negatif dan siasatan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua remaja terbabit akan dibawa ke Mahkamah Kluang di sini bagi membantu siasatan kerana terlibat dalam kes pergaduhan dan buli di sekolah.