X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan nilai cadangan kenakan PKP di Sabah

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menilai untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sabah kerana ia terus mencatatkan kes koronavirus (Covid-19) harian tertinggi pada masa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka akan membentang dan mengumumkan sebarang keputusan berhubung perkara itu pada Isnin ini.

"Hampir keseluruhan daerah di Sabah kini diisytiharkan zon merah... jadi kita telah diminta oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa teknikal untuk melihat secara terperinci dalam menentukan prosedur operasi standard (SOP) dan kesan daripada pelbagai aspek.

"Kalau kita nak perkenalkan PKP semula sebagai contoh, maka SOP perlu diperkenalkan semula dan kita perlu meneliti SOP ini mengikut nasihat KKM," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sikap segelintir individu yang melanggar larangan rentas negeri dalam tempoh PKP Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata, beliau akan meminta pihak polis untuk mengetatkan kawalan sekatan jalan raya.

"Memang kita beri kuasa kepada pihak polis untuk membuat sekatan jalan raya ini, namun mungkin ada pihak yang mengisi borang memaklumkan tujuan rentas negeri, tidak memberi gambaran sebenar (tidak jujur).

"Saya percaya pihak polis akan memperketatkan lagi (kawalan) selepas PKPB dikenakan di lebih banyak negeri bermula 9 November ini," katanya sebagai mengulas kes seorang jururawat yang melakukan perjalanan rentas negeri dari Lembah Klang ke Kelantan mengakibatkan empat ahli keluarganya positif Covid-19.

Sementara itu, kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak berikutan terdapat 27 kes positif kes Covid-19 dikesan di kawasan itu.

PKPD bermula dari 8 November hingga 21 November itu dilakukan atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh KKM.

Katanya, PKPD ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar melibatkan seramai 123 pelajar dan 11 orang kakitangan bagi menyekat penularan kepada komuniti setempat.

Selain itu, PKPD di Taman Semarak dan PPR Sri Balung, Tawau yang bermula sejak 26 Oktober lepas akan tamat esok seperti yang dijadualkan setelah saringan yang dijalankan di kedua-dua kawasan itu mendapati masing-masing hanya tinggal 13 kes masih aktif.

Penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti itu mencatatkan trend penurunan dan terkawal.

Pada masa yang sama semalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan 14 bot nelayan asing di kawasan perairan Pulau Pinang menerusi Op Benteng.

Berikutan itu KD Laksamana Tan Pusmah telah diatur gerak untuk mengusir kesemua bot nelayan itu keluar daripada perairan negara.

Menerusi Op Benteng yang dijalankan di seluruh negara itu juga, seramai 15 pendatang asing tanpa izin, selain masing-masing seorang tekong dan penyeludup berjaya ditahan. Turut dirampas lima kenderaan darat.

Selain itu, seramai 407 individu telah ditahan kerana ingkar PKPP dengan 403 dikompaun, manakala empat lagi direman. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!