MB arah JKR bina semula jambatan runtuh di Kampung Teras

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya segera melaksanakan kerja-kerja pembinaan semula jambatan di Kampung Teras, Ijok di Selama yang runtuh pada Julai tahun lepas.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai aduan oleh penduduk dan hasil semakan mendapati kelulusan peruntukan bagi menaik taraf jambatan sebanyak RM645,000 telah diluluskan pada Ogos tahun lepas, namun ditangguhkan kerana perubahan reka bentuk.

“Bagaimanapun saya berpandangan bahawa proses perubahan reka bentuk yang mengambil masa begitu lama iaitu melebihi 10 bulan, tidak dapat diterima.

“Keselamatan orang ramai tidak boleh dikompromi dan dilengah-lengahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan semula jambatan berkenaan akan dipantau rapat oleh Pejabat Menteri Besar dan pentadbirannya tidak akan berkompromi dengan ketidakcekapan dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

“Saya ingin menegaskan kepada semua jabatan dan agensi negeri supaya meningkatkan tahap kecekapan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan kumpulan pelajar dari kampung berkenaan terpaksa bergadai nyawa hampir setiap hari apabila perlu melalui jambatan yang runtuh itu untuk pergi dan pulang dari sekolah berikutan ia merupakan laluan paling hampir untuk ke sekolah masing-masing. - Bernama

Artikel Berkaitan: