'Ahli Parlimen tidak makan gaji buta'

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen tidak makan 'gaji buta' meskipun hanya 80 orang yang dibenarkan masuk ke dewan persidangan dalam satu-satu masa.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua ahli Parlimen yang ada tetap perlu hadir di Parlimen walaupun dibenarkan masuk secara bergilir-gilir.

"Yang dimaksudkan 80 orang itu ialah mereka yang berada dalam ruang yang disediakan pada satu-satu masa. Di Parlimen ini dia banyak ruang iaitu Dewan Rakyat, Dewan Negara.

"Pada masa yang sama ada ruang lain, ruang ketua pembangkang, ruang pejabat semua menteri, semuanya ada ruang. Kemudian ruang-ruang awam seperti lobi, kantin, ruang rehat.

"Untuk makluman, keseluruhan kompleks Parlimen itu telah dipasang dengan sistem video yang mana apa sahaja yang berlaku dalam persidangan, boleh diikuti daripada luar.

"Semua perjalanan sesi itu boleh diikuti. Oleh kerana ada syor dari pihak pakar supaya tidak terlalu ramai dalam satu masa satu tempat, maka itulah sebabnya dihadkan kepada 80 orang secara bergilir-gilir," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO Negeri di Pejabat UMNO Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, setiap ahli Parlimen juga diberikan pas untuk bergilir namun untuk berbahas, bercakap dan mengundi, semuanya dibenarkan masuk.

Artikel Berkaitan:

Maka, katanya tidak ada isu yang mengatakan ahli Parlimen makan gaji buta kerana semuanya perlu hadir cuma bergilir-gilir untuk berada di dalam ruang Dewan Rakyat.

"Ini yang patut dijelaskan supaya tidak timbul tanggapan bahawasanya dakwaan 80 orang sahaja ahli Parlimen yang bekerja, demokrasi sudah terancam sebab jumlah itu saja yang boleh bercakap dan sebagainya.

"Semua dakwaan itu tidak benar, 222 ahli Parlimen perlu berada di Parlimen setiap hari dan mereka boleh mengikuti semua perbahasan yang berjalan sepenuhnya," katanya.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan perkara tersebut selepas diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan koronavirus (Covid-19) dua hari lalu.

Beliau berkata, pecahan pembahagian yang ditentukan ialah 41 pihak kerajaan dan 39 pihak pembangkang dan Bebas.

Malah katanya juga, penentuan ahli Yang Berhormat yang boleh berada dalam Dewan Rakyat akan ditetapkan oleh parti masing-masing.

Setiausaha Dewan Rakyat memberikan kad khas tersebut kepada Yang Berhormat Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) untuk diselaraskan kehadiran di pihak anggota pentadbiran dan ahli-ahli Backbenchers.

Di pihak pembangkang, kad khas diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani (Datuk Johari Abdul) untuk kehadiran ahli-ahli pembangkang dan Bebas.