LRA Sungai Linggi masih belum boleh beroperasi

LRA Sungai Linggi masih belum boleh beroperasi berikutan kerja-kerja menambak tebing Sungai Linggi belum diselesaikan. - Foto ihsan Sains
LRA Sungai Linggi masih belum boleh beroperasi berikutan kerja-kerja menambak tebing Sungai Linggi belum diselesaikan. - Foto ihsan Sains
A
A
A

SEREMBAN - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi masih belum boleh beroperasi seperti biasa.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Norzita Ismail berkata, ia berikutan kerja-kerja menambak tebing Sungai Linggi oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih lagi belum berjaya dilaksanakan.

"Melalui kenyataan Sains sebelum ini, selagi kerja-kerja baik pulih tebing sungai belum diselesaikan oleh pihak JPS, LRA Sungai Linggi tidak boleh beroperasi membekalkan bekalan air terawat kepada semua kawasan terlibat.

"Sejak semalam Sains masih menunggu aliran air sungai memasuki muka sauk untuk menjalankan operasi loji," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, jika paras muka sauk telah memenuhi paras ditetapkan loji akan mula beroperasi dan dalam tempoh 48 jam bekalan air akan beransur pulih.

Norzita berkata, tempoh pemulihan bergantung kepada sistem retikulasi yang mana kawasan tinggi akan mengambil masa berbanding kawasan rendah.

"Sains sekali lagi mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna di seluruh kawasan terlibat untuk terus bersabar dan memahami situasi ini.

"Sains akan terus memberikan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas sehingga keadaan pulih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Sains akan terus bekerjasama dengan pihak JPS untuk memantau kerja-kerja pembaikan tebing sungai sehingga selesai dan memastikan air sungai masuk ke muka sauk bagi loji memulakan operasinya seperti biasa.

Katanya, Sains akan terus memberikan maklumat terkini melalui laman web rasmi www.sainswater.com atau di Facebook Pusat Khidmat Pelanggan SAINS serta Apps iSAINS.

"Para pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut dan terkini boleh juga menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982," katanya.