Penasihat Trump gesa sedia terima kekalahan

Donald Trump, Joe Biden.
Donald Trump, Joe Biden.
A
A
A

MOSCOW - Penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meminta calon Republikan itu bersedia berdepan kekalahan dalam pilihan raya presiden 2020, apabila jalan menuju kemenangan dilihat kian berliku, lapor Agensi Sputnik memetik Washington Post.

Beberapa jam sebelum itu, CNN melaporkan Trump enggan akur dan tidak mempunyai sebarang hasrat untuk membenarkan pencabarnya Joe Biden, meskipun calon Demokrat itu memperoleh 270 undi elektoral untuk menawan Rumah Putih.

Menurut sumber akhbar Post, pembantu dan penasihat Trump itu belum membincangkan rancangan mengenai tindakan seterusnya jika tewas, tetapi ucapan sudah disediakan.

Post melaporkan orang-orang di sekeliling Trump kini berpecah menjadi dua kem, ada berpendapat presiden perlu akur dengan kekalahan dan melakukan proses peralihan kuasa secara damai. Sementara satu lagi kem percaya beliau mesti berjuang dan mempertikaikan keputusan di negeri yang dirasakan perlu.

Trump dan keluarga berada di kem kedua, lapor akhbar itu.

Biden kini mendahului tipis di negeri Pennsylvania dan Georgia, yang masing-masing menawarkan 20 dan 16 undi elektoral.

Dengan mendahului agak selesa di Nevada dan Arizona, Biden dilihat mempunyai laluan mudah untuk merampas jawatan presiden daripada Trump.

Sebaliknya, Trump yang mempunyai 214 undi elektoral setakat ini dilihat berdepan tugas berat dan laluan sukar untuk mempertahankan jawatannya bagi penggal kedua. - Bernama

Artikel Berkaitan: