PKPB: Polis tingkat sekatan jalan raya di Mukim Rasau

Polis telah mengaktifkan lima sekatan jalan raya bermula tengah malam tadi.- Gambar fail.
Polis telah mengaktifkan lima sekatan jalan raya bermula tengah malam tadi.- Gambar fail.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu meningkatkan kawalan sekatan jalan raya di kawasan Mukim Rasau, Dungun susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, pihaknya telah mengaktifkan lima sekatan jalan raya bermula tengah malam tadi.

Menurutnya, salah satu daripada SJR itu melibatkan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Baharudin
Baharudin

"Sekatan jalan raya ini melibatkan laluan utama penduduk di Felda Kerteh Satu hingga Enam.

"Kita juga ada seramai 52 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi yang bertanggungjawab untuk melakukan rondaan dan pemantauan secara berkala bagi memantau pergerakan keluar masuk penduduk, selain memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mukim Rasau, Dungun menjadi daerah yang pertama di Terengganu yang dikenakan PKPB, berkuatkuasa hari ini susulan peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di beberapa kawasan tersebut.

Susulan itu, 73 institusi pendidikan di seluruh Dungun ditutup bermula 7 sehingga 20 November ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, penduduk di kawasan PKPB Mukim Rasau tidak perlu risau mengenai putus bekalan makanan.

Che Adam
Che Adam

Jelasnya, agihan bantuan makanan akan diselaraskan dan diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama APM.

"Kita akan selaraskan agihan makanan ke rumah-rumah yang dikenalpasti di kawasan itu. Setakat ini ada kira-kira 2,000 keluarga.

"Selain itu, kita ada 28 anggota APM yang bertugas dalam membantu daripada aspek pengurusan," katanya.