X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberian pas sementara kepada PATI patut diteliti

Gambar hiasan. Gambar kecil: Basal Bullah
A
A

KENINGAU - Pemangku Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Keningau, Basal Bullah menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang bersetuju dengan langkah kerajaan Persekutuan melaksanakan pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah melalui pemberian pas sementara jika ada permintaan daripada sektor perladangan dan pembinaan.

Basal berkata, cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sepatutnya diteliti terlebih dahulu kerana cuba menghalalkan PATI berbanding cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) sebelum ini yang bertujuan untuk menguruskan golongan pelarian sahaja.

"PSS ialah satu mekanisme untuk mengkatalogkan pelarian di Sabah sama ada mereka memegang IMM13, Kad Burung-burung dan Sijil Banci atau pun tanpa dokumen langsung di bawah satu dokumen pengenalan diri.

"Tetapi adakah Maximus sedar bahawa dengan pengenalan pas sementara, PATI di Sabah kini mempunyai dokumen selain IMM13, Kad Burung-burung dan Sijil Banci untuk pelarian," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu bahawa parti mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengutamakan aspirasi rakyat Sabah.

"Terutama etnik Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang terpaksa bersaing dengan PATI dalam kehidupan harian dan bukannya keperluan majikan daripada sektor pertanian dan pembinaan semata-mata," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pemberian pas sementara kepada PATI diputar belit: Jeffrey

Basal dalam pada itu turut menyelar kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang didakwa mengambil langkah berdiam diri sahaja dengan cadangan berkenaan.

"Jeffrey telah mengkritik PSS tahun lalu, malah telah menghasut rakyat Sabah untuk menolak PSS melalui 'Black Sunday'.

"Sekarang, cadangan Muhyiddin untuk memutihkan warga PATI ini bukan hanya akan dilaksanakan di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan sekiranya Jeffrey seorang pemimpin yang berprinsip, sepatutnya berani menolak cadangan tersebut kerana ia bertentangan dengan perjuangan Jeffrey selama ini," katanya.

Katanya, Jeffrey sebelum ini beberapa kali menuduh Warisan sebagai parti yang pro-PATI dan pelbagai lagi fitnah yang tidak masuk akal, tetapi sekarang hanya berdiam diri apabila melihat Presiden Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu melakukan pemutihan.

Terdahulu, Sinar Harian sebelum ini melaporkan PBS tiada masalah untuk menyokong cadangan kerajaan Persekutuan mengeluarkan permit kerja sementara bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh asing di sektor perladangan dan perindustrian di Semenanjung.

Bagaimanapun, pihaknya akan memastikan bahawa ia dilaksanakan mengikut undang-undang imigresen dan buruh.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!