ADUN Selangor dinasihat kurangkan aktiviti luar

Ng Suee Lim
Ng Suee Lim
A
A
A

SHAH ALAM - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti yang melibatkan penyertaan ramai orang dalam hujung minggu ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim berkata, ingatan dan nasihat itu diberikan kepada mereka memandangkan Selangor masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Saya menasihatkan agar semua ADUN kurangkan aktiviti yang melibatkan ramai orang kerana sesi Dewan Undangan Negeri Selangor masih lagi berjalan pada Isnin ini, dan pada masa sama Selangor masih lagi dalam tempoh PKPB.

"Sekiranya mereka masih perlu menghadiri aktiviti yang melibatkan ramai orang, saya harap pertingkatkan prosedur operasi standard (SOP)," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 7 Oktober lalu bersetuju agar sidang DUN yang dijadualkan bermula 30 Oktober 2020 diteruskan mengikut jadual.

Ia bagi memastikan urusan berkaitan pengurusan kewangan dan pentadbiran kerajaan negeri bagi tahun 2021 adalah teratur mengikut peraturan dan perundangan yang sedang berkuatkuasa.

Sidang DUN Selangor akan diteruskan pada Isnin ini dan dijadualkan berakhir pada masa ditetapkan.

Sebelum ini, DUN Selangor mewajibkan saringan kepada semua individu termasuk Exco Kerajaan Negeri, ADUN, kakitangan serta petugas media untuk melakukan ujian saringan (swab test) sebelum sesi dewan bermula.

Artikel Berkaitan: