BNM sedia kemudahan pembiayaan tambahan bantu PKS

BNM mengumumkan kemudahan pembiayaan tambahan untuk menyokong pemulihan PKS yang terjejas akibat Covid-19.
BNM mengumumkan kemudahan pembiayaan tambahan untuk menyokong pemulihan PKS yang terjejas akibat Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan bagi membantu individu serta perniagaan yang terjejas pendapatan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Selain mempertingkatkan fleksibiliti bayaran balik pinjaman bersasar, BNM juga menyediakan beberapa inisiatif lain.

BNM dalam satu kenyataan berkata, bagi memberikan bantuan dan menyokong pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dana berjumlah RM2.61 bilion diperuntukkan melalui tiga kemudahan pembiayaan tambahan.

"Pertama ialah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) bernilai RM2 bilion termasuk untuk subsektor perkhidmatan persendirian, perkhidmatan makanan dan minuman, kesihatan manusia, kerja sosial serta seni, hiburan dan rekreasi.

“TRRF akan disediakan melalui institusi kewangan peserta pada kadar konsesi sehingga 3.5 peratus dengan perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation (CGC).

"Kemudahan ini dijangka dibuka untuk permohonan mulai 1 Disember 2020,” kata BNM dalam kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, kemudahan kedua ialah Kemudahan Teknologi Tinggi ( HTF) bernilai RM500 juta untuk sektor teknologi tinggi seperti subsektor baja dan getah sintetik, bahan kimia asas, produk petroleum bertapis, farmaseutikal bioteknologi serta penerbangan dan angkasa lepas.

"Ketiga ialah penambahan peruntukan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) sebanyak RM110 juta dengan baki peruntukan yang tersedia sebanyak RM200 juta.

Artikel Berkaitan:

"Ia sebagai modal kerja dan perbelanjaan modal untuk perusahaan mikro termasuk pekerja sambilan (gig) yang menggunakan platform digital serta bekerja sendiri," katanya.

Menurut BNM, bagi Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA), bantuan tambahan diberikan kepada peminjam golongan B40 dan perusahaan mikro dengan pilihan penangguhan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Bantuan ini akan disediakan untuk kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada masa peminjam memohon bantuan bayaran balik.

“Untuk peminjam yang layak antara 23 November 2020 hingga 30 Jun 2021 bagi ansuran mulai bulan Disember tahun ini, dan akan berkuat kuasa pada ansuran seterusnya selepas permohonan dan pengesahan peminjam diterima,” ujar BNM.

Bagi tujuan tersebut, katanya, dokumentasi akan dimudahkan dengan permohonan berdasarkan pengisytiharan peminjam sendiri mengenai pengurangan pendapatan mereka.

Selain itu, kenyataan turut menjelaskan bahawa satu saluran tambahan akan disediakan di Meja Bantuan Perusahaan Mikro di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bermula 9 November 2020 untuk perusahaan mikro memohon bantuan berkenaan.

“Kerajaan, BNM dan industri kewangan sedang bekerjasama berhubung beberapa inisiatif lain.

“Program iTEKAD akan diperluaskan dengan penyertaan lebih banyak institusi kewangan Islam melalui kerjasama rangkaian rakan pelaksana dan rakan negeri pada tahun depan.

“Skim Perlindungan Tenang untuk golongan B40 akan diberikan dalam bentuk baucar sebanyak RM50 bagi pembelian perlindungan insurans dan takaful bermula 1 April 2021,” kata BNM.