Tak sempat dialisis, warga emas maut kereta bertembung lori

A
A
A

JASIN - Seorang wanita warga emas tidak sempat menjalani rawatan dialisis apabila dia maut dalam kemalangan di lampu isyarat Lebuh AMJ di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.10 pagi, kereta Proton Saga dinaiki mangsa, Jamilah Md Jeni, 62, bersama anaknya terbabit kemalangan dengan sebuah lori.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Difahamkan, dua beranak itu dalam perjalanan ke pusat dialisis di Taman Debunga, Merlimau.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, anak mangsa yang memandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu lori cedera pada bahagian tangan kiri dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kemalangan berlaku di satu persimpangan lampu isyarat apabila kenderaan dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah lori membawa muatan bongkah konkrit longkang dari arah Muar ke Melaka.

"Soal siasat dengan anak mangsa mendapati mereka berdua dalam perjalanan dari arah Semujuk menghala ke Merlimau sebelum bertembung dengan lori terbabit.

"Kemalangan itu turut mengakibatkan mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hasan Basri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.