PKPB Parit Buntar: Polis akui cabaran sempadan tiga negeri

Boon Keng memeriksa surat kebebaran majikan ketika meninjau sekatan jalan raya PKPB di Mukim Parit Buntar hari ini.
Boon Keng memeriksa surat kebebaran majikan ketika meninjau sekatan jalan raya PKPB di Mukim Parit Buntar hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kawasan bersempadan tiga negeri antara Perak, Kedah dan Pulau Pinang menjadi cabaran besar buat anggota polis sepanjang pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Parit Buntar yang bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, majoriti penduduk di kawasan itu didapati sering keluar masuk antara negeri bagi tujuan bekerja dan menjalankan aktiviti perniagaan.

"Kita dapati ramai penduduk yang tinggal di Pulau Pinang atau Kedah datang ke Parit Buntar ini atas urusan kerja dan berniaga, begitu juga sebaliknya.

"Ini cabaran buat kita untuk pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sebaiknya kerana kalau dilihat sempadannya dekat sahaja, ada tempat yang hanya dipisahkan dengan longkang dan ada yang satu jalan.

"Jadi kita nasihatkan orang awam agar tidak keluar masuk ke mukim ini sekiranya tidak mempunyai perkara mustahak, kalau tidak dapat dielakkan maka dapatkan surat kebenaran majikan atau borang kebenaran pergerakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan sekatan jalan raya PKPB di Mukim Parit Buntar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat.

Boon Keng berkata, setakat ini enam sekatan jalan raya (SJR) didirikan di mukim berkenaan iaitu di Jalan Abdul Raof, Kampung Kedah, Jalan Dewan, hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Serong, Simpang Tiga Jalan Tali Air dan Pekan Batu Lima.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan secara 24 jam itu akan melibatkan 145 anggota polis serta bantuan 26 anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya.

Menurutnya, laluan tikus di kawasan bersempadanan Parit Buntar-Nibong Tebal dan Bandar Baharu juga tidak terlepas dari pemantauan polis sepanjang tempoh PKPB ini.

"Pemeriksaan mengejut dan rondaan secara kerap akan dilakukan di kawasan-kawasan terbabit bagi mengelak berlakunya pelanggaran pematuhan SOP kalangan penduduk," katanya.

Terdahulu media melaporkan, Mukim Parit Buntar antara tiga mukim baharu yang dikenakan PKPB selepas menunjukkan trend peningkatan kes koronavirus (Covid-19) menerusi penilaian risiko.

PKPB di Mukim Parit Buntar akan membabitkan 45,359 penduduk dengan 7,847 unit rumah.