Belanjawan 2021 mampu perkasa ekonomi negara: Pemuda Pas

KHAIRIL NIZAM
KHAIRIL NIZAM
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2021 yang merupakan belanjawan pengembangan (expansionary budget) dilihat mampu membawa kesan penggandaan tinggi kepada ekonomi negara dalam usaha pemerkasaan (revitalise) dan penyusunan semula (reform) ekonomi negara.

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, belanjawan itu yang mencatat sejarah sebagai belanjawan terbesar negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion adalah bertepatan dengan keperluan negara mendepani situasi yang belum pernah dihadapi serta berupaya mendokong tiga matlamat utama yang digariskan iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Beliau berkata, Pemuda Pas juga merasakan belanjawan ini sangat menyeluruh dengan capaian maksima manfaatnya kepada rakyat Malaysia serta berjaya menggariskan inisiatif mengikut keutamaan bagi menghadapi situasi semasa dan mendatang yang penuh cabaran.

"Pemuda Pas mengikuti secara rapat pembentangan Belanjawan 2021 semalam yang bertemakan 'Teguh Kita Menang Bersama' yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas kesudian mendengar dan menerima cadangan Pemuda Pas yang dibawa semasa perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya dalam isu pengangguran dan pembangunan golongan belia.

"Tahniah juga kepada Kementerian Kewangan kerana mendengar pandangan daripada semua pihak termasuklah pihak pembangkang," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, itu juga merupakan tanda jiwa besar pihak kerajaan Perikatan Nasional menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mencapai kata sepakat dan mengenepikan perbezaan politik untuk bersama berdepan dengan kesemua cabaran negara dan menjaga rakyat dengan lebih serius.

"Atas sebab-sebab tersebut juga, Pemuda Pas menyokong penuh Belanjawan 2021 ini dan bagi menjadikan belanjawan ini benar-benar belanjawan perpaduan, kami menyeru semua ahli Parlimen agar berbahas dengan matang dan sihat serta meletakkan kepentingan rakyat benar-benar di hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Pemuda Pas akan terus mengikuti perkembangan pelaksanaan Belanjawan 2021 ini terutamanya di peringkat kelulusan di dalam Sidang Dewan Rakyat dan mengingatkan semua ahli politik dan ahli Parlimen terus menyokong belanjawan ini agar kelebihan untuk perolehan rakyat dapat direalisasikan dengan sempurna," katanya.