X

Kindly register in order to view this article
!

MOM terus perjuangkan cadangan pencen untuk atlet Olimpik

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan memperkenalkan skim pencen kepada Olimpian berikutan cadangan itu tidak termasuk dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk memperkenalkan skim pencen kepada Olimpian berikutan cadangan itu tidak termasuk dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan disegerakan untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Kami faham pada masa ini kerajaan memberi perhatian kepada perkara lebih penting dalam menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kami akan terus bekerjasama dengan menteri dalam usaha ini serta cadangan berkaitan perlindungan insurans perubatan percuma kepada atlet kebangsaan,” katanya ketika dihubungi.

Bernama sebelum ini melaporkan MOM mencadangkan pencen khas dalam Belanjawan 2021 bagi membantu mengurangkan beban atlet kebangsaan yang banyak berkorban demi kejayaan negara di Sukan Olimpik dan mencapai kejayaan setara dengan Olimpik.

Bagaimanapun, MOM gembira dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Parlimen yang mengambil kira pemegang taruh dalam industri sukan.

Mohamad Norza berkata, peruntukan RM55 juta untuk pembangunan sukan elit dan menggalakkan penyertaan wanita dalam sukan dapat membantu memperkukuhkan lagi usaha di peringkat akar umbi.

Katanya, RM20 juta yang dikhaskan kepada operator kemudahan sukan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) membuktikan kerajaan peka dengan kesukaran dan cabaran yang dihadapi akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata mengenai jumlah RM103 juta disediakan untuk menaik taraf kemudahan sukan pula, ia dapat menjamin masa depan sukan negara dengan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada kemudahan sukan sebaik prosedur operasi standard (SOP) membenarkannya.

“Agenda Nasional Malaysia Sihat dan kenaikan kadar pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM500 hingga RM3,000 untuk pembelian peralatan sukan termasuk yuran penyertaan pertandingan pasti mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk terlibat dalam sukan.

“Kami mengakui keadaan agak sukar. Oleh itu, kami mengalu-alukan komitmen kerajaan terhadap industri sukan secara menyeluruh dengan peruntukan tidak hanya tertumpu kepada sukan elit sahaja tetapi juga kepada sukan peringkat akar umbi dan operator kemudahan sukan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!