Peruntukan untuk Jasa tak beri manfaat kepada rakyat: Mujahid

Mujahid ketika berucap secara dalam talian pada Konvensyen Amanah Terengganu hari ini.
Mujahid ketika berucap secara dalam talian pada Konvensyen Amanah Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peruntukan besar sebanyak RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam dilihat tidak memberi manfaat kepada rakyat sebaliknya hanya menghidupkan kembali unit propaganda yang telah dihapuskan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau terkejut dengan pengumuman itu kerana sebelum ini operasi Jasa dihentikan selepas kerajaan PH menjadi kerajaan Persekutuan sebagai langkah pengurangan kos.

“Pada 2019 dan 2020 unit ini telah dihapuskan kerana ia adalah platform propaganda berita tidak betul yang menafikan realiti serta tidak menyumbangkan kepada demokrasi dan kesedaran.

“Kita terkejut kerana kerajaan hari ini menghidupkan kembali Jasa. Apakah kita mahu hidupkan semula era propaganda dan pemalsuan berita. Saya tak menolak kemungkinan isu pandemik koronavirus (Covid-19) kini mengetatkan lagi sistem demokrasi dan kebebasan,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas merasmikan Konvensyen Amanah Terengganu hari ini.

Dalam pada itu, Mujahid turut menyifatkan Belanjawan 2021 tidak melambangkan polisi dan dasar kerajaan serta langkah dalam membantu memulihkan ekonomi rakyat.

“Belanjawan ini memang dinantikan kerana selain dibuat dalam situasi normal baharu ia satu dilakukan dalam keadaan kerajaan tiada mandat dan mengalami kemerosotan sokongan rakyat.

“Kita menjangkakan kerajaan akan bantu meringankan impak Covid-19 kepada rakyat seperti lanjutan moratorium pinjaman kepada mereka yang bersasar malangnya ia tidak disentuh.

“Kita ramalkan bajet ini satu peluang kepada negara untuk mencipta pemikiran baharu dari sudut ketelusan pentadbiran, amanah dan melawan rasuah serta memperkasakan demokrasi, namun ia tiada dalam bajet kali ini. Ia adalah bajet dalam era normal baharu tetapi cara pemikiran lama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kerajaan seharusnya mengkaji semula kewajaran peruntukan sebanyak RM81 juta yang diperuntukkan kepada Jasa.

“Peruntukan RM81 juta di bawah dasar baharu untuk Jasa dilihat tidak wajar kerana tiada kena mengena dengan pandemik Covid-19. Ia bukan untuk menyelamatkan rakyat sebaliknya dilihat hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Kerajaan perlu kaji balik peruntukan ini kerana ia dilihat tidak realistik. Pihak pembangkang juga tidak akan memberi laluan mudah atau menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerana masih terdapat banyak perkara perlu dikaji semula,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan supaya turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dilihat terjejas teruk akibat Covid-19.

“Kita menyarankan supaya kerajaan mempunyai satu rancangan terutama untuk sektor pelancongan yang dilihat paling ketara terkesan akibat Covid-19.

“Bukan hanya pemain industri pelancongan, ia juga turut membabitkan peniaga kecil dan usahawan mikro,” katanya.

Konvensyen Amanah Terengganu hari ini dihadiri 100 ahli yang dijemput bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal ditetapkan.