Aidil Sharin mahu anak buahnya kurangkan kesilapan

Penjaga gol Kedah, Muhammad Azri Ab Ghani tewas pada jaringan kedua Pahang bagi aksi pertama TM Piala Malaysia 2020 di Stadium Darul Aman semalam. Bagaimanapun Kedah mara ke suku akhir dengan kemenangan mengatasi Pahang 3-2. - Foto MFL
Penjaga gol Kedah, Muhammad Azri Ab Ghani tewas pada jaringan kedua Pahang bagi aksi pertama TM Piala Malaysia 2020 di Stadium Darul Aman semalam. Bagaimanapun Kedah mara ke suku akhir dengan kemenangan mengatasi Pahang 3-2. - Foto MFL
A
A
A

KEDAH perlu mengurangkan kesilapan pada aksi Suku Akhir TM Piala Malaysia 2020 jika mahu mara jauh dalam saingan kejohanan tersebut pada musim ini.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak kebangkitan Pahang yang merapatkan jurang kepada 3-2 selepas ketinggalan tiga gol di separuh masa pertama di Stadium Darul Aman pada perlawanan pusingan pertama seharusnya menjadi pengajaran berguna kepada anak-anak buahnya semalam.

Menurutnya, pasukan lawan akan mula bangkit dan menghukum pasukannya jika mereka berterusan membuat kesilapan yang pada akhirnya akan memberikan tekanan kepada Kedah untuk mengekalkan kelebihan gol yang telah dimiliki.

"Kini paling penting kepada pemain adalah untuk tidak mengulangi kesilapan sama pada perlawanan seterusnya. Kita perlu membuat analisis dan membetulkannya supaya kesilapan tidak berlaku lagi.

"Tetapi pemain saya tidak hilang tumpuan pada perlawanan ini kerana mereka berusaha memberikan segala-galanya bagi mengatasi Pahang.

"Mereka berusaha untuk menambah gol lagi, namun kredit perlu diberikan kepada penjaga gol mereka, Helmi Eliza Elias kerana banyak menafikan peluang kami," katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman semalam.

Aidil Sharin berkata, lawan mereka pada peringkat suku akhir sama ada Selangor mahupun Melaka United adalah sama kuat kerana dibarisi pemain dan jurulatih yang mempunyai keupayaan dan berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui sikap ambil mudah pasukannya terutamanya di barisan pertahanan menjadi punca mereka dibolosi tiga gol pada separuh masa pertama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan pasukannya menyaksikan segala perancangan diatur sebelum perlawanan tidak membuahkan hasil.

"Selepas pesanan dilakukan pada rehat separuh masa pertama agar sikap perlu diubah maka Pahang kembali bangkit pada separuh masa kedua dengan mendapatkan dua gol.

"Cuma nasib tidak menyebelahi kita malam ini. Ada terkilan juga penalti Dickson Nwaekame tidak masuk, jika masuk boleh mengheret perlawanan ke masa tambahan. Inilah bola sepak.

"Dalam latihan sepakan penalti selalu masuk tetapi malam ini tidak jadi pula, apapun Dickson sudah memberikan yang terbaik," katanya.