Tidak pernah lantik orang ketiga kutip derma

Mohamad Fauzi menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jaya Gading semalam.
Mohamad Fauzi menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jaya Gading semalam.
A
A
A

KUANTAN - Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai di Taman Tas di sini, tidak pernah melantik pihak ketiga untuk mengutip derma mewakili rumah kebajikan itu.

Pengurus rumah kebajikan terbabit, Mohamad Fauzi Ramli, 32, berkata, segala aktiviti kutipan dijalankan atas inisiatif rumah kebajikan itu sendiri melalui akaun atas nama Badan Pengurusan Rumah Kebajikan Seri Permai Pahang.

Justeru, pihaknya menafikan ada membuat kutipan derma di beberapa-berapa daerah di sekitar Pahang termasuk Terengganu dengan melantik orang ketiga.

"Kami terkejut bila terima aduan daripada beberapa individu mendakwa ada pihak tertentu telah menggunakan nama rumah kebajikan kami dengan matlamat mahu mengisi kantung poket mereka sendiri.

"Individu ini dipercayai membuat kutipan derma di beberapa kawasan di sekitar Kemaman dan Dungun di Terengganu, manakala di Jaya Gading, Kuantan dan beberapa daerah di negeri ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah kebajikan itu hari ini.

Hari ini, tular di laman sosial Facebook mengenai tindakan individu yang menggunakan nama rumah kebajikan Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai di Taman Tas untuk mengutip derma demi kepentingan peribadi.

Dalam Facebook milik rumah kebajikan itu turut memuat naik gambar individu terlibat dan salinan laporan polis.

Dalam pada itu, Mohamad Fauzi mendakwa aktiviti kutipan derma itu telah dijalankan sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan pelbagai alasan bagi meraih simpati orang ramai untuk menghulurkan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perbuatan individu itu telah mencemarkan imej rumah kebajikan mereka sedangkan pihaknya tidak pernah meraih simpati orang ramai melalui kaedah sedemikian.

"Jadi kami sudah pun membuat satu laporan polis di Balai Polis Jaya Gading, semalam bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap individu terlibat. Tindakan yang dilakukan ini bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak menggunakan nama mana-mana rumah kebajikan untuk mengutip derma.

"Saya nasihatkan kepada orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang sahih sebelum menderma bagi mengelak sebarang kes penipuan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata, bagi mereka yang ini menghulurkan sumbangan, mereka boleh datang terus ke rumah kebajikan atau menyalurkan derma melalui akaun Maybank, 556226402887.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan bukan sahaja dalam aspek kewangan malah juga psikologi kepada penghuni.