Jangan fikir keluarkan RM10,000 KWSP: Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diminta tidak memikirkan soal pengeluaran RM10,000 sebaliknya perlu melihat tiga inisiatif diperkenalkan kerajaan kepada mereka menerusi pembentangan belanjawan semalam.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiga inisiatif itu cukup penting dalam membantu pencarum yang terkesan akibat koronavirus (Covid-19) selain dipertimbangkan dengan mengambil kira semua faktor termasuk data pencarum aktif.

"Saya terperanjat apabila diberitahu ramai yang ada akaun satu KWSP tidak mencecah simpanan RM10,000. Kira-kira 71 peratus pencarum aktif cuma ada RM47,000 dalam akaun satu mereka.

"Jangan fikir keluarkan RM10,000 dari akuan satu, tetapi tiga inisiatif diperkenalkan kerajaan yang penting," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada wakil masyarakat India Pontian sempena perayaan Deepavali di sini hari ini.

Semalam, menerusi Belanjawan 2021 kerajaan mengumumkan tiga inisiatif kepada pencarum KWSP antaranya mereka dibenar mengeluarkan simpanan daripada akaun satu secara bersasar sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan.

Seterusnya, pengeluaran i-Lestari (akaun 2) yang diperkenalkan pada April lalu sebanyak RM500 sebulan sehingga 12 bulan, sekali gus membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan dengan jumlah keseluruhan pengeluaran sehingga RM6,000 setahun.

Selain itu, kadar caruman minimum KWSP pekerja daripada 11 kepada 9 peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pihaknya akan mendapatkan data lengkap berkaitan pencarum dan jumlah simpanan mereka dalam KWSP dalam sidang perbahasan Parlimen.

"Segala angka-angka ini kita akan dapatkan di Parlimen ketika bahas. Saya sudah diberitahu tetapi saya mahukan maklumat terperinci jumlah rakyat yang ada akaun aktif dan jumlah dalam akuan satu," katanya.