X

Kindly register in order to view this article
!

Peruntukan RM5.1 bilion bukti Sabah di hati kerajaan Pusat

Gambar kecil: Hajiji Mohd Noor
A
A

KOTA KINABALU - Peruntukan sebanyak RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur negeri ini serta RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo membuktikan Sabah dekat di hati kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor memaklumkan bahawa beliau gembira dengan belanjawan dibentangkan semalam yang disifatkan sebagai pengembangan dan mengambil kira pemulihan ekonomi secara menyeluruh.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana memberi perhatian kepada keperluan di Sabah.

"Di bawah Belanjawan 2021, Sabah diperuntukkan sebanyak RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur selain RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo dan pakej lain sekali gus membuktikan bahawa kepentingan Sabah dekat di hati kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara berita baik yang akan dinikmati rakyat Sabah dalam Belanjawan Nasional ini termasuk pemberian Geran Khas Tambahan RM1,000 untuk peniaga, pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong bagi mengurangkan bebanan berikutan penurunan kedatangan pelancong di negeri ini.

"Selain itu, perkhidmatan bank bergerak diperluas ke Sabah untuk memudahkan penyaluran bantuan kerajaan kepada penduduk luar bandar dan sebanyak RM41 juta bagi Program Hak Adat Anak Negeri.

"Begitu juga berhubung peruntukan untuk Program Pengagihan Barang Asas, gas cecair petroleum (LPG) dan Drum Komuniti yang akan diperluas ke-34 kawasan baharu termasuk di Sabah meningkat kepada RM200 juta dan sebanyak RM100 juta untuk pihak berkuasa pelaburan serantau termasuk Lembaga Pelaburan dan Ekonomi Sabah (SEDIA)," katanya.

Hajiji dalam pada itu juga turut mengalu-alukan subsidi padi bukit akan diwujudkan semula dengan peruntukan RM40 juta untuk tahun depan.

"Ini akan memberi manfaat kepada hampir 10,000 penanam padi di Sabah yang mengusahakan kira-kira 7,000 hektar padi bukit," katanya.

Berhubung keadaan keselamatan di Sabah, Hajiji berharap keselamatan Sabah terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) juga dapat dipertingkatkan menerusi peruntukan RM16 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan bekerjasama dengan rakan di Persekutuan untuk memastikan Belanjawan 2021 berjaya dilaksanakan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!