Harimau Kumbang mengaum di Stadium Bandaraya

Casagrande meraikan jaringan gol pertama Harimau Kumbang ketika melayan kunjungan Felda United di Stadium Bandaraya malam tadi.
Casagrande meraikan jaringan gol pertama Harimau Kumbang ketika melayan kunjungan Felda United di Stadium Bandaraya malam tadi.
A
A
A

JUARA Liga Premier, Pulau Pinang juga menepati ramalan status awal pasukan pilihan mara suku akhir TM Piala Malaysia apabila menewaskan Felda United 3-1 pada pusingan 16 di Stadium Bandaraya malam tadi.

Beraksi di laman sendiri, anak buah Manzoor Azwira terlebih dulu di depan hasil jaringan Casagrande pada minit ke-37 bagi membolehkan Harimau Kumbang mendahului babak pertama 1-0.

Bagaimanapun bersambung babak kedua, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil itu kembali menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak deka Nicolas Velez menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Somerville.

Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Kumbang mula memperkemaskan rentak sebelum meledak dua jaringan menerusi Amer Azahar (62') sebelum Changhoon Lee mengukuhkan kedudukan Harimau Kumbang pada minit ke-76.

Sementara itu, finalis musim lalu, Kedah membuktikan keazaman tinggi untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Aman.

Anak buah Aidil Sharin Sahak dengan status juara empat kali tampil agresif apabila meledak tiga gol menerusi jaringan Shakir Hamzah pada minit ke-17, diikuti Kpah Sherman (36'), Kipré Tchétché (44') sebelum anak buah Dollah Salleh merapatkan defisit dengan dua gol Muslim Ahmad (49') dan Faizal Rani (88').

Aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pula menyaksikan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah menjinakkan pendatang baharu saingan Piala Malaysia, Kuching FA 1-0 hasil jaringan minit ke-19 pemain Harimau Selatan, Arif Aiman Mohd Hanafi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Benjamin Mora mara ke pusingan seterusnya menentang Kuala Lumpur di laman sendiri pada 12 November ini.

Artikel Berkaitan: