Kedah tipis atasi Pahang

Pemain Kedah meraikan kejayaan jaringan Sherman yang membantu Kedah mengatasi Pahang 3-2 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. Foto FA Kedah
Pemain Kedah meraikan kejayaan jaringan Sherman yang membantu Kedah mengatasi Pahang 3-2 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi. Foto FA Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mara ke Suku Akhir TM Piala Malaysia apabila menewaskan Pahang 3-2 pada pusingan pertama di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Terdahulu, Kedah berpeluang berada di hadapan pada minit ke-6 namun percubaan Tchetche Kipre dapat dibaca oleh penjaga gol pelawat, Helmi Eliza Elias.

Kpah Sherman pula berpeluang mencetak gol awal pada minit ke-11 namun sepakannya sekadar melepasi palang gol Tok Gajah.

Namun gol yang diburu oleh Lang Merah akhirnya menjelma pada minit ke-17 hasil tandukan Shakir Hamzah yang menerima hantaran dari Baddrol Bakhtiar yang mengambil sepakan sudut.

Pahang berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-23 namun Dickson Nwaekame gagal menyempurnakan hantaran Ivan Carlos apabila bola terlebih dahulu diselamatkan penjaga gol Kedah, Muhammad Azri Ab Ghani.

Tuan rumah terus selesa di hadapan 2-0 pada minit ke-35 apabila meledakkan gol kedua hasil tandukan Sherman selepas memanfaatkan hantaran lintang Kipre.

Anak buah Aidil Sharin terus mengasak kubu Tok Gajah dan mereka terus mencatatkan gol ketiga menerusi sepakan Kipre yang mencecah jaring lawan pada minit ke-43 untuk keputusan 3-0 sebelum tamat separuh masa pertama.

Pahang kembali bangkit merapatkan jurang kedudukan 3-1 pada minit ke-49 hasil tandukan Muslim Ahmad yang memanfaatkan hantaran sepakan percuma Nor Azam Abd Aziz.

Artikel Berkaitan:

Mereka terus memberikan tekanan kepada tuan rumah apabila memperolehi penalti pada minit ke-78 selepas Renan Alves menarik Adam Michael di dalam kotak penalti namun Dickson gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya sekadar singgah di tiang gol Kedah.

Pahang berusaha untuk bangkit pada perlawanan kalah mati itu dan berjaya merapatkan jurang kepada 3-2 hasil jaringan Faizal Abdul Rani pada minit ke-88.

Namun masa tambahan sebanyak lima minit yang diberikan gagal dimanfaatkan oleh Pahang untuk melakar kejutan dan keputusan 3-2 kekal hingga wisel penamat.