Belanjawan 2021 tangani kesan buruk Covid-19

Hajiji Noor - Foto Bernama
Hajiji Noor - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini merupakan belanjawan konklusif bagi menangani kesan buruk koronavirus (Covid-19) merentasi semua sektor komuniti dan ekonomi khususnya di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah 1 berkata, sekalipun fokus utama belanjawan itu ialah untuk memerangi Covid-19, beliau gembira kerana belanjawan tersebut tetap bersifat pengembangan yang mengambil kira sektor-sektor lain bagi memastikan ekonomi pulih dengan kukuh.

“Belanjawan itu akan melonjakkan lagi kejayaan inisiatif rangsangan ekonomi RM305 bilion yang dilaksanakan kerajaan sejak Mei. Saya harap belanjawan ini akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kemakmuran rakyat, kelangsungan perniagaan dan meningkatkan daya tahan ekonomi,” katanya di sini malam ini.

Hajiji sebelum itu meluangkan masa menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan 2021 bersama-sama dua Timbalannya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam serta beberapa menteri kabinet Sabah di bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.

Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM322.5 bilion itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

Sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Zafrul, Hajiji melahirkan rasa gembira kerana kerajaan Persekutuan memberi perhatian terhadap keperluan Sabah dalam belanjawan itu.

“Sabah diperuntukkan RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur, selain RM3.8 bilion untuk kesinambungan projek Pan Borneo dan lain-lain pakej pembangunan. Ini membuktikan Sabah dekat di hati kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, usul untuk meningkatkan jumlah Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dinamakan semula sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan dapat membantu mengurangkan beban rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri itu juga gembira kerana subsidi padi bukit akan dihidupkan semula dengan peruntukan berjumlah RM40 juta tahun depan yang dijangka dapat memanfaatkan hampir 10,000 pesawah di Sabah yang mengusahakan kira-kira 7,000 hektar tanaman tersebut.

Hajiji berharap kawalan keselamatan di Sabah terutama di kawasan Esszone dapat dipertingkatkan lagi susulan peruntukan RM16 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri.

“Saya memberi jaminan kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan agensi persekutuan untuk memastikan belanjawan itu dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya. - Bernama