Belanjawan 2021 rangkumi segenap lapisan masyarakat

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini merangkumi semua isu dan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap semua segmen masyarakat.

“Walaupun masih dalam proses rawatan, saya tetap mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia dengan penuh minat dan teliti.

“Belanjawan 2021 bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' telah mengemukakan matlamat, strategi dan inisiatif merangkumi semua isu serta menyerlahkan keprihatinan kerajaan terhadap semua segmen masyarakat. Inilah #BelanjawanKitaSemua,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, beliau percaya belanjawan berkenaan hasil pendekatan inklusif dan strategik kerajaan melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk merentas semua negeri dan parti politik.

“Kita dapat lihat usaha kerajaan memelihara kebajikan rakyat melalui pengawalan dan pencegahan Covid-19, pengukuhan aliran tunai isi rumah, jaminan peluang pekerjaan serta menjana semula sektor ekonomi dan perniagaan yang terkesan teruk, namun dalam masa yang sama tidak meninggalkan usaha memperkasakan agenda bumiputera dan Islam.

“Kerajaan juga menumpukan inisiatif kepada golongan berpendapatan rendah dan terjejas terutama golongan B40 termasuk peniaga kecil, petani, nelayan dan pelbagai kelompok kecil sektor ekonomi. Ia turut menumpukan kesinambungan pelaksanaan inisiatif pembangunan infrastruktur kemudahan dan fasiliti dalam menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” katanya.

Ahmad Samsuri turut berterima kasih atas pengumuman kerajaan bagi membantu menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang.

“Saya menyeru rakyat Terengganu untuk mengambil manfaat daripada pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 terutama dalam menjamin kesejahteraan hidup, kelangsungan perniagaan, dan ketahanan ekonomi rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, pada 23 November nanti, saya akan membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu Darul Iman yang menggariskan lima teras utama,” katanya.