Mangsa kebakaran di Putatan bakal dapat rumah PPR

Isnin (depan kanan) melawat penempatan sementara mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.
Isnin (depan kanan) melawat penempatan sementara mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Sebanyak 22 keluarga mangsa kebakaran yang menetap secara sementara di Kampung Pasir Putih di sini, akan dipindahkan ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang lebih selesa di Penampang.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata, mereka akan dipindahkan sebaik rumah PPR di Kampung Kibabaig siap sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga bulan dari sekarang.

"Rata-rata keluarga mangsa kebakaran yang berlaku lebih setahun 11 bulan lalu itu masih tiada tempat tinggal dan 22 keluarga daripadanya hanya sekadar mampu membina rumah ala kadar dengan menggunakan khemah atas ihsan majlis daerah yang di bina di kawasan rizab parit di kawasan ini.

"Sehubungan itu, kita di kementerian mencari jalan untuk membantu mereka dan saya mencadangkan mereka dipindahkan ke PPR yang kosong iaitu di PPR Kibabaig yang akan siap dalam tempoh dua bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di penempatan mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Isnin berkata, sebagai perancangan jangka panjang, kerajaan melalui kementeriannya juga akan membangunkan semula kawasan tapak kebakaran itu untuk dijadikan penempatan PPR di Putatan.

"Insya-ALLAH kita akan mencadangkan kepada kepada kerajaan supaya kawasan tapak kebakaran ini dibina semula sebagai perumahan rakyat. Sekurang-kurangnya boleh menampung lebih ramai keluarga di kawasan ini dan boleh menampung 400 hingga 500 keluarga jika kawasan ini dibangunkan.

"Saya yakin, kerajaan hari ini mempunyai rancangan yang baik untuk rakyat kerana tidak mahu rakyat terus berada dalam keadaan begini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Isnin (depan kanan) melawat penempatan sementara mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.
Isnin (depan kanan) melawat penempatan sementara mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk di penempatan sementara ini menerima setiap rangka dan cadangan daripada kerajaan demi keselesaan mereka.

"Saya jangka mereka akan terima cadangan ini kerana sudah hampir dua tahun mereka berada dalam keadaan yang tidak selesa.

"Jadi saya harap bantuan kerajaan dalam aspek perancangan diterima oleh penduduk di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Putih, Awang Usman menyambut baik cadangan itu bagaimanapun akan berbincang dengan semua penduduk yang terjejas di kawasan itu.

"Kami penduduk di sini menyambut baik dengan cadangan ini dan akan berbincang untuk mendengar pendapat penduduk di sini," katanya.

Terdahulu, 29 Oktober lalu Sinar Harian melaporkan penduduk yang terjejas akibat kebakaran pada tahun lalu masih tidak mempunyai rumah kekal atau ditempatkan di mana-mana PPR sehingga terpaksa mendirikan rumah sementara di kawasan itu.