X

Kindly register in order to view this article
!

Pertembungan wabak dan 'scammer'

A
A

PAK SU agak risau apabila mengetahui mengenai jangkaan 'twindemic' ataupun pertembungan dua wabak yang dijangka melanda Malaysia pada hujung tahun ini.

Seperti yang dinyatakan Pengerusi Kumpulan Influenza Malaysia, Profesor Dr Zamberi Sekawi, pandemik berkembar iaitu koronavirus (Covid-19) dan influenza akan mencetuskan kebimbangan kerana ia mungkin menyaksikan peningkatan jangkitan influenza bersekali dengan Covid-19 secara mendadak.

Menurut Dr Zamberi, di negara Barat, 'twindemic' berlaku ketika musim sejuk, manakala di Malaysia, ia berkait rapat dengan musim hujan.

Ekoran itu, beliau menasihati orang ramai terutama mereka yang berada dalam kategori berisiko seperti warga emas, pesakit penyakit kronik dan ibu mengandung supaya mendapatkan vaksin influenza kerana penyakit itu boleh dicegah menerusi suntikan vaksin.

Seharusnya saranan itu perlu diambil serius kerana pertembungan wabak berkenaan bukannya dengan penyakit-penyakit biasa tetapi pandemik yang telah menyebabkan lebih sejuta manusia maut di seluruh dunia.

Impak tersebut turut mencatat sejarah apabila manusia terpaksa mengubah corak kehidupan biasa kepada norma baharu. Hanya yang melaluinya tahu betapa besar impak Covid-19 ke atas manusia.

Oleh kerana impak besar Covid-19, dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan semalam, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion lagi bagi membendung gelombang ketiga pandemik itu.

Ketika membentangkan belanjawan yang ditunggu-tunggu itu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu antaranya merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebanyak RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan KKM dan ketiga, RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19.

Turut menerima manfaat, petugas barisan hadapan apabila Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan KKM dan ia akan diteruskan sehingga ancaman pandemik berjaya diatasi.

Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan KKM yang dijangka memanfaatkan 100,000 petugas kesihatan.

Ternyata, melalui peruntukan tersebut, ia dapat menguatkan semangat barisan hadapan untuk mencegah Covid-19 daripada terus meningkat.

Akhir sekali, ketika semua umat manusia sibuk mengharungi Covid-19, golongan penyamun alam maya terus ligat mencari mangsa baharu untuk diperdaya.

Tidak kira apa keadaan sekalipun, 'scammer' akan terus mengambil kesempatan daripada situasi semasa untuk menjerat mangsa yang naif.

Seperti dilaporkan, taktik terbaharu sindiket penipuan adalah dengan menyamar sebagai pegawai kesihatan untuk memperdaya mangsa.

Difahamkan, mereka akan menghubungi mangsa, kononnya mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dan meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM150.

Bukan itu sahaja, pemanggil turut meminta maklumat kad kredit menyebabkan mangsa yang panik akan menuruti arahan tanpa banyak soal.

Menurut Pengerusi dan Pengasas Bersama Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian itu yang semakin berleluasa.

Secara logiknya, pegawai KKM tidak akan meminta maklumat kad kredit dan bayaran. Jadi jangan mudah terpedaya dengan helah itu.

Oleh itu, selain berwaspada dengan pandemik berbahaya, kita juga harus berwaspada dengan penyamun yang setiap masa mahu mencuri duit kita.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!