Anwar persoalkan kejujuran kerajaan pulihkan ekonomi

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kerajaan kerana gagal membentangkan belanjawan yang mampu membela golongan miskin atau berupaya memulihkan ekonomi negara.

"Itu kelemahan besar bagi saya. Belanjawan ini tidak memberikan gambaran bagaimana kita boleh merangsang, memacu pertumbuhan ekonomi supaya boleh hidup dan segar.

"Keduanya, penyelesaian masalah pengangguran dan membantu golongan pekerja yang dibuang kerja. Ini perkara paling besar bagi saya kerana ia menyangkut kehidupan.

"Bayar RM500 atau RM1,000 bukan jawapannya tapi bagaimana satu rangka diatur, bagaimana kita sebut moratorium yang memihak kepada kepentingan bank dan bukan kepada peminjam dan ekonomi," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Anwar yang juga merupakan bekas Menteri Kewangan itu berkata demikian menerusi sidang video pendek di laman Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beberapa unjuran dalam Belanjawan 2021 itu membimbangkan termasuk pendapatan kerajaan menerusi cukai pendapatan dan cukai korporat dijangka berkurangan hanya RM4 bilion berbanding 2019.

“Amat sukar menerima unjuran sebegini sebab begitu banyak perniagaan kini hampir bankrap atau menanggung kerugian. Hanya segelintir syarikat seperti Top Glove yang meraih keuntungan,” katanya.

Beliau turut menuntut penjelasan kenapa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia diperuntukan lebih RM80 juta, manakala golongan miskin dan orang kurang upaya diberikan jumlah jauh lebih kecil.

Artikel Berkaitan:

"Harus ada sikap yang lebih telus yang menyatakan fakta kerana ia akan dikaji dan mempengaruhi dasar kita tetapi bagi saya kelemahan yang paling ketara selain angka-angka yang saya sebutkan tadi," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak pembangkang akan membangkitkan isu-isu berkenaan apabila Belanjawan 2021 dibahaskan mulai Isnin depan.