X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Cuepacs sifatkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan peduli rakyat

Presiden Cuepacs, Adnan Mat.
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini sebagai belanjawan peduli rakyat.

Presidennya, Adnan Mat berkata, manfaat daripada belanjawan tersebut jelas mencakupi semua golongan rakyat.

Menurutnya, kerajaan juga dilihat memberikan pertimbangan sepenuhnya cadangan yang dikemukakan Cuepacs sebelum ini seperti pemerkasaan penyampaian perkhidmatan awam, pengukuhan tadbir urus dan integriti.

"Cuepacs sebagai wakil bagi pihak penjawat awam menzahirkan penghargaan tertinggi kepada kerajaan kerana tetap memberikan keutamaan kepada sektor perkhidmatan awam yang meliputi pelbagai aspek seperti pemerkasaan sistem perkhidmatan serta tidak lupa dalam hal-hal kebajikan penjawat awam itu sendiri.

“Biarpun tiada pengumuman kenaikan gaji atau bonus tambahan kepada kakitangan awam, tetapi fokus yang diberikan untuk memperkasakan sistem perkhidmatan awam dan kebajikan warganya tetap dialu-alukan.

“Cuepacs akui ketika waktu sukar seperti ini sudah tentu kerajaan perlu melihat semua golongan untuk diberikan bantuan sewajarnya dan keutamaan tertinggi sudah tentulah kepada rakyat yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Adnan berkata, belanjawan tersebut banyak memberi manfaat kepada penjawat awam terutama mereka yang terdiri daripada isi rumah yang perlu dibantu kerana beliau mengingatkan bahawa ada dalam kalangan mereka mempunyai pasangan yang turut sama-sama terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Justeru, katanya, fokus kerajaan terhadap golongan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) itu perlu dipuji kerana mereka antara rakyat yang paling terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH), inisiatif BPR lebih memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat dan penjawat awam,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Cuepacs turut berpuas hati dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion yang diberikan buat penjawat awam terutama petugas barisan hadapan yang bekerja keras membendung gelombang ketiga Covid-19.

“Lebih istimewa apabila petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberikan pemberian one-off sebanyak RM500,” ujarnya.

Namun, katanya, konteks petugas barisan hadapan harus diperluaskan lagi kepada beberapa jabatan lain seperti anggota polis atau tentera dan tidak hanya tertumpu kepada petugas KKM sahaja.

Mengulas lanjut, katanya, Cuepacs turut berharap kerajaan boleh membuat lantikan tetap kepada semua kekosongan yang diberikan terutama di sektor-sektor yang kritikal seperti sektor kesihatan, keselamatan, pendidikan dan sosial.

“Jangan dibazirkan tenaga kerja mereka yang sudah diberikan pengalaman sebaliknya manfaatkan sepenuhnya modal insan tersebut.

“Cuepacs juga mencadangkan agar pekerja-pekerja kontrak yang diberhentikan sebelum ini seperti daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Program Latihan Khidmat (PLKN), Seranta FELDA dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberi keutamaan dalam inisiatif My STEP atau Short-term Employment Programme,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!