X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga lagi kluster baharu dikesan

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu, masing-masing satu di Sabah dan Perak serta satu lagi melibatkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Mampulut melibatkan daerah Keningau dengan kes indeks (ke-32,154) dikesan positif koronavirus (Covid-19) hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu.

Menurutnya, individu itu dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Kompleks Sukan Keningau, Sabah.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 27 lagi kes positif dan sehingga hari ini, seramai 32 individu telah disaring dengan 28 kes positif Covid-19 termasuk 12 kes baharu hari ini manakala 181 individu dikesan negatif,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Bagi kluster baharu di Perak pula iaitu Kluster Rengas, Dr Noor Hisham berkata, ia dikesan di daerah Kuala Kangsar melibatkan kes indeks ke-36,426 dan ke-36,427 hasil saringan individu bergejala pada 4 November lalu.

Katanya, individu terbabit dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak dan saringan kontak rapat telah mengesan tujuh lagi kes positif.

“Sehingga 6 November, sejumlah 290 individu disaring dengan sembilan kes dikesan positif termasuk tujuh kes baharu (hari ini) sementara 281 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Fores dikesan di daerah Petaling, Gombak dan Klang di Selangor serta daerah Kepong di Kuala Lumpur.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu (kes ke-25,475) adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan positif Covid-19 pada 17 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 19 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 190 individu telah disaring dengan 20 kes positif termasuk lima kes baharu dan 70 individu negatif sementara 100 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, terdapat tiga lagi kluster diisytihar tamat hari ini iaitu Kluster Bah Lada di Perak, Kluster Atap di Sabah dan Kluster Bah Sahabat di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, tiada kes kematian yang dilaporkan daripada ketiga-tiga kluster.

“Seramai 56 orang telah disaring bagi Kluster Bah Lada melibatkan empat kes positif Covid-19 manakala kadar positiviti bagi kluster ini ialah 7.14 peratus.

“Bagi Kluster Atap, sehingga hari ini, seramai 48 orang disaring dengan empat kes positif dan kadar positiviti bagi kluster ini ialah 8.33 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Bah Sahabat di Terengganu, seramai 53 orang disaring dan 11 kes dikesan positif sehingga hari ini dengan kadar positiviti bagi kluster itu ialah 20.75 peratus. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!