Belanjawan inklusif kurangkan beban rakyat

Muhammad Sanusi menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 di Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 di Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini disifatkan inklusif dan bermatlamatkan ke arah kesejahteraan rakyat meliputi semua kelompok masyarakat.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain bermatlamat untuk mengurangkan beban rakyat dalam menangani impak pandemik koronavius (Covid-19) yang belum pasti bila akan berakhir, ia merupakan belanjawan terbaik yang diperlukan rakyat.

Menurutnya, 'Belanjawan Teguh Kita, Menang Bersama' dengan nilai RM322.5 bilion itu sememangnya diperlukan untuk memulihkan semula ekonomi negara.

“Langkah kerajaan menerima cadangan pembangkang dalam menyediakan usul belanjawan kali ini wajar dipuji dan tepat pada masanya. Sebagaimana kita bersatu menyediakan usul ini, sekarang adalah masa untuk kita bekerja mencapai matlamat pemulihan tahun hadapan,” katanya mengulas mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Muhammad Sanusi turut mengharapkan agar Kedah tersenarai dalam projek pembangunan infrastruktur luar bandar yang memperoleh dana besar iaitu sebanyak RM2.7 bilion.

“Bagi projek naik taraf jalan luar bandar sebanyak RM1.32 bilion, saya berharap agar jalan-jalan ban di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), perkampungan Keda dan kawasan Felda turut diberikan perhatian,” katanya.

Muhammad Sanusi turut berterima kasih kepada kerajaan yang memberi fokus kepada program pembangunan beberapa infrastruktur penting di Kedah.

“Ia akan memberi kesan langsung kepada Kedah dalam perbelanjaan pembangunan dan mengurus. Antaranya peruntukan untuk projek Loji Rawatan Air (LRA), jalan raya dari Grik ke Kulim, infrastruktur zon pembangunan khas di Yan dan Baling,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia termasuk peruntukan untuk senggara kawasan industri, jalan kampung yang akan membantu Kedah secara langsung.

“Pengumuman Peningkatan insentif pengeluaran getah (IPG) sekali ganda, insentif kepada nelayan dan petani banyak memberi manfaat kepada golongan sasar di Kedah. Selain elaun imam, siak, bilal dan guru takmir yang dinaikkan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menghargai peruntukan yang diberikan untuk membangunkan Loji Rawatan Air baru di Kubang Pasu untuk penduduk dan kawasan industri baharu.

“Saya yakin rakyat berpuas hati dengan skim bantuan yang diumumkan. Pemberian khas kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi Covid-19 adalah langkah tepat,” katanya.

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini memahami denyut nadi dan segenap spektrum rakyat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, belanjawan yang diumumkan Menteri Kewangan itu merupakan satu angka yang besar.

Malah, katanya, sejarah tercipta pada belanjawan kali ini apabila tidak meminggirkan Melaka yang merupakan antara negeri yang diberikan perhatian serta mendapat peruntukan khusus menerusi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus di Jasin.

Menurutnya, peruntukan RM150,000 bagi pengurusan air mentah akan menyumbang dan meningkatkan proses pemulihan air yang akan dilaksanakan bagi menggelak risiko kekurangan air di empangan terutama ketika musim panas dan kering.

"Contoh pengurusan air yang diterima RM150,000 dan walaupun kita perlukan RM300,000 namun kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan dan sudah pasti ia akan menyumbang kepada pemulihan air di Melaka.

"Melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan mengambil langkah segera bagi membolehkan projek itu dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2021 bersama ketua jabatan dan media di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu juga menghargai peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menambah baik dan meningkatkan infrastruktur serta mempergiatkan promosi kampung budaya bersama Terengganu, Sarawak dan Negeri Sembilan.

"Melaka turut terbabit dengan peruntukan RM50 juta bagi menyelenggara dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara ini dan perancangan tingkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan," katanya.